JENAYAH & MAHKAMAH

Mayat Wanita Sudah Reput Disyaki Mangsa Bunuh Ditemukan Dekat KLIA

11/09/2025 12:02 AM

PUTRAJAYA, 10 Sept (Bernama) -- Mayat seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an dipercayai dibunuh ditemukan dalam keadaan reput berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 Sept lepas.

Ketua Polis Daerah KLIA, ACP Azman Shari’at berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 7.50 malam mengenai penemuan mayat berkenaan.

“Keadaan mayat telah mereput dengan bahagian kepala tidak sempurna dan hanya tinggal tengkorak. Berdasarkan keadaan fizikal, mangsa disyaki telah meninggal dunia lebih kurang seminggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa masih berpakaian lengkap, memakai baju T-shirt putih jenama Drum bersaiz XS bertulis ‘Fear Less’ serta seluar kargo pendek berwarna krim bersaiz L.

Menurutnya setakat ini identiti mangsa masih belum dapat dipastikan kerana tiada dokumen pengenalan diri dijumpai bersama mayat.

Azman berkata hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Serdang mendapati empat kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa.

Katanya kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.

Susulan itu, beliau meminta kerjasama orang awam atau waris agar segera menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat DSP Tee Ah Chew di talian 018-2183555.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan