KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie akan berdepan rakan senegara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin dalam perebutan tiket ke suku akhir Terbuka Hong Kong 2025, esok.
Pilihan ketujuh yang tewas 13-21 pada set pertama, bangkit pada set kedua 23-21 sebelum melengkapkan kemenangan 21-8 ke atas wakil Taiwan, Lin Bing-Wei-Lin Jhih Yun dalam pusingan pertama kejohanan Super 500 berlangsung di Coliseum Hong Kong hari ini.
Dalam satu lagi perlawanan pembukaan, gandingan Pang Ron-Su Yin pula memerlukan 24 minit untuk mengetepikan Oleksii Titov-Yevheniia Kantemyr dari Ukraine 21-14, 21-14 untuk mara ke pusingan kedua.
Dalam saingan beregu lelaki pula, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri dipaksa bermandi peluh sebelum menyingkirkan pasangan Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang 21-11, 16-21, 21-18.
Hon Jian-Muhammad Haikal turut berdepan rakan senegara Wan Junaidi Wan Arif-Yap Roy King yang mengejutkan pilihan ketiga Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark 21-19, 23-21 semalam.
Sementara itu, perseorangan lelaki profesional negara Aidil Sholeh Ali Sadikin mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Chi Yu Jen dari Taiwan 15-21, 21-18, 21-15.
Aidil Sholeh bakal berdepan tugas getir berdepan pilihan keenam dari Perancis, Christo Popov yang menewaskan Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia 19-21, 21-17, 21-19.
Kempen perseorangan wanita negara berakhir selepas K Letshanaa tewas kepada Wen Yu Zhang dari Kanada 22-24, 16-21.
Keputusan lain:
--------------------
(Nota: Pemain Malaysia kecuali dinyatakan)
Beregu lelaki:
Huang Di-Liu Yang (CHN) mn Low Hang Yee-Ng Eng Cheong 21-15, 21-15
Beregu campuran:
[5] Tang Chun Man-Tse Ying Suet (HKG) mn Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien 13-21, 21-10, 21-9
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial