KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Kedutaan Besar Malaysia di Warsaw pada Rabu menggesa semua rakyat Malaysia yang menetap di wilayah Podlaskie, Mazowieckie dan Lubelskie supaya sentiasa berwaspada susulan beberapa insiden pencerobohan ruang udara Poland baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform X, kedutaan itu menasihati rakyat Malaysia di wilayah terjejas untuk mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan, mendapatkan maklumat terkini melalui sumber berita yang sahih dan mengelakkan perjalanan yang tidak perlu.
“Patuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan beri perhatian kepada semua pengumuman rasmi dan siaran kecemasan. Sentiasa dapatkan maklumat terkini dan pantau sumber berita tempatan yang sahih untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi itu.
“Utamakan keselamatan anda dan elakkan perjalanan yang tidak perlu serta kekal berada di lokasi yang selamat,” kata kedutaan itu.
Pihak kedutaan juga menggesa rakyat Malaysia supaya segera menghubungi kedutaan sekiranya berlaku sebarang kecemasan di talian +48 226174413 atau +48 660627360 (selepas waktu pejabat), atau melalui e-mel di mwwarsaw@kln.gov.my.
Perdana Menteri Poland Donald Tusk mengumumkan bahawa Poland akan menutup sepenuhnya sempadannya dengan Belarus, termasuk lintasan kereta api mulai tengah malam Khamis atas sebab-sebab keselamatan negara.
Agensi Berita Poland melaporkan langkah itu akan menjejaskan semua lintasan sempadan.
Belarus telah bertindak balas dengan membantah keputusan itu, terutamanya kerana ia berlaku serentak dengan latihan ketenteraan Rusia-Belarus, Zapad-2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial