KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Penyertaan Malaysia dalam acara Expo 2025 Osaka turut mengetengahkan agenda peralihan tenaga negara, termasuk peranan penting Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dalam menonjolkan kepimpinan ekonomi dan perindustrian di persada dunia.
Sejak penubuhannya pada 1974, Petronas lebih daripada sekadar sebuah syarikat tenaga, malah menjadi pemacu perindustrian Malaysia, rakan dalam pembangunan pendidikan dan kemahiran serta penggerak daya saing global.
Pada masa ini, seiring kemajuan negara ke arah sasaran sifar bersih 2050, syarikat berkenaan terus menseimbangkan keterjaminan tenaga dengan kelestarian, sekali gus memperkukuh statusnya sebagai antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama negara.
“Sehubungan itu, Expo Osaka 2025 menyediakan pentas global untuk berkongsi komitmen ini dengan dunia.
“Pavilion Malaysia menjadi lokasi yang membolehkan libat urus Malaysia dengan pihak berkepentingan antarabangsa, memperkukuh hubungan dengan rakan niaga Jepun serta menonjolkan daya pimpinannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
“Sejajar dengan Minggu Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) serta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Malaysia, penglibatan Petronas itu turut menyerlahkan bagaimana keutamaan dasar negara dan platform antarabangsa dapat mengetengahkan kepimpinan Malaysia dalam peralihan tenaga dan kelestarian,” kata syarikat minyak dan gas negara itu dalam kenyataannya, hari ini.
Petronas berkata berpandukan matlamat ‘rakan tenaga dan penyelesaian progresif yang memperkaya kehidupan untuk masa depan lestari,’ syarikat berkenaan akan terus memacu pertumbuhan Malaysia dan pada masa sama menggalakkan peralihan tenaga global.
Peranan Petronas juga bukan setakat memaparkan kebanggaan negara, malah komitmen jangka panjang untuk mengimbangi aspek keselamatan, kelestarian dan inovasi demi masa depan.
“Sebagai peneraju tenaga negara, Petronas menggalas tanggungjawab besar di setiap platform yang disokongnya. Ini termasuk kerjasama dengan Pavilion Malaysia di Expo 2025 Osaka yang berlangsung pada 13 April hingga 16 Okt, 2025.
“Menerusi kerjasama yang sedang dijalankan, Petronas mengekalkan pertumbuhan Malaysia di peringkat dalam negara, memperluas naratifnya di luar negara serta mengukuhkan peranan negara dalam usaha peralihan tenaga global,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial