EKONOMI

Expo 2025 Osaka: TNB Serlah Visi Sifar Bersih Malaysia, Integrasi Tenaga ASEAN

10/09/2025 11:53 AM

Daripada Samantha Tan Chiew Tieng

OSAKA, 10 Bernama (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) menegaskan komitmen Malaysia untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 di samping menekankan peranannya dalam memajukan integrasi tenaga ASEAN ketika berlangsungnya Minggu Tenaga di Pavilion Malaysia pada acara dunia, Expo 2025 Osaka, di sini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata penyertaan TNB dari 8 hingga 12 September ini menumpukan kepada dua keutamaan iaitu berkongsi usaha Malaysia ke arah sifar bersih, dengan peranan utama dilaksanakan oleh TNB, serta berinteraksi dengan rakan yang berpotensi bagi jalinan kerjasama.

Beliau berkata kehadiran TNB di Expo 2025 Osaka bertujuan mengetengahkan usaha peralihan tenaga Malaysia di samping meletakkan negara sebagai hab infrastruktur dan perdagangan tenaga di ASEAN.

"Malaysia berada pada kedudukan penting untuk memacu peralihan tenaga bagi ASEAN, dan satu kelebihan yang kita miliki adalah lokasi geografi kita yang terletak di tengah-tengah rantau ini. Dari sudut tenaga, infrastruktur dan kesambungan masih diperlukan.

"Oleh itu, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk melaksanakan peranan sebagai hab fizikal. Pada masa sama, kita juga sedang berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hab perdagangan dan komersial. Kedudukan yang kita usaha dan tonjolkan di sini adalah sebagai hab infrastruktur dan hab perdagangan tenaga," katanya kepada Bernama di Pavilion Malaysia hari ini.

Megat Jalaluddin berkata kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN 2025 menjadikan Malaysia perlu menerajui usaha itu di rantau Asia Tenggara.

"Kami gembira kerana kedudukan Malaysia itu telah memberikan peluang yang baik untuk kerjasama antara perniagaan dalam kalangan peserta utiliti ASEAN.

“Contohnya adalah potensi Grid Tenaga ASEAN (APG) yang menghubungkan Vietnam, Malaysia dan Singapura, serta menghubungkan Vietnam, Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura. Ini diharapkan dapat merangsang peluasan APG dengan lebih meluas," katanya.

Beliau berkata TNB, sebagai syarikat berkaitan kerajaan, komited dalam menyokong agenda peralihan tenaga kerajaan.

"Perkara yang baik mengenai usaha APG semasa ialah negara anggota ASEAN mempunyai matlamat bersama. Kita menyedari setiap negara, dari segi penjanaan tenaga, mempunyai kelebihan masing-masing. Sebagai contoh, Vietnam mempunyai potensi besar dalam tenaga angin, Laos dengan potensi hidro, dan Malaysia mempunyai potensi luas dalam penjanaan tenaga solar.

"Menyedari hal itu, kita boleh berkongsi sumber, terutama tenaga boleh baharu, yang akan menjadikan matlamat ini sebagai satu objektif bersama. Kita berharap usaha ini dapat berkembang seterusnya menjadi matlamat pembangunan ekonomi yang lebih luas untuk seluruh penduduk ASEAN," katanya.

Megat Jalaluddin turut menyatakan keyakinan bahawa Malaysia akan mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050, disokong oleh Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan kerjasama yang lebih kukuh daripada seluruh ASEAN.

Pavilion Malaysia di Expo 2025 Osaka kini memasuki minggu ke-22, bertepatan dengan Minggu Tenaga dari 8 hingga 12 September.

Program yang diketuai Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) menampilkan inisiatif Malaysia dalam peralihan tenaga termasuk NETR, APG dan strategi ekonomi kitaran.

Penyertaan Malaysia dalam acara dunia yang berlangsung selama enam bulan dari 13 April hingga 13 Oktober itu, diketuai oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, dengan tema Pavilion “Malaysia: Weaning a Future in Harmony”.

Setakat ini, Malaysia mencatatkan kira-kira RM15.6 bilion dari segi potensi perdagangan dan pelaburan menerusi ekspo itu, melebihi sasaran sebanyak RM13 bilion.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan