DUNIA

Qatar Kutuk Sekeras-kerasnya Serangan Israel Di Doha

10/09/2025 12:17 AM

ISTANBUL, 9 Sept (Bernama-Anadolu) -- Kementerian Luar Qatar mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel di Doha, menyifatkannya sebagai “pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.”

“Serangan jenayah ini merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap semua undang-undang dan norma antarabangsa, serta menjadi ancaman serius kepada keselamatan rakyat Qatar dan penduduk di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan menurut Anadolu Ajansi.

Kementerian itu mengesahkan bahawa pasukan keselamatan, pertahanan awam dan pihak berkuasa berkaitan telah menangani insiden berkenaan dan “mengambil langkah-langkah perlu bagi mengawal kesannya serta memastikan keselamatan penduduk dan kawasan sekitarnya.”

Qatar menegaskan bahawa pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan “tingkah laku melulu Israel dan gangguan berterusan terhadap keselamatan serantau, mahupun sebarang tindakan yang menyasarkan keselamatan serta kedaulatannya.”

Anadolu melaporkan seorang pemimpin kanan Hamas memberitahu stesen televisyen Al Jazeera yang berpangkalan di Doha bahawa serangan itu berlaku ketika perunding kumpulan itu sedang membincangkan cadangan terbaharu Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengenai gencatan senjata di Gaza dan pertukaran tahanan.

Seorang lagi pemimpin kanan Hamas mengesahkan kepada Al Jazeera bahawa delegasi kepimpinan Hamas terselamat dalam serangan di Doha itu.

Qatar bersama Mesir dan AS kini menjadi pengantara dalam rundingan tidak langsung antara Israel dan Hamas mengenai potensi perjanjian pertukaran tahanan dan gencatan senjata.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan