KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memperhebat usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata penguasaan bahasa Inggeris amat penting bagi daya saing masa depan Malaysia dan tidak boleh dipandang ringan.
“Kita perlu terima hakikat bahawa tahap penguasaan bahasa Inggeris adalah sangat penting. Ini bermakna Kementerian Pendidikan perlu menggiatkan usaha untuk memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Jubli Emas ke-50 Kumpulan AmBank di sini hari ini.
Pada masa sama, Anwar turut menegaskan bahawa bahasa Melayu kekal sebagai bahasa kebangsaan dan mesti dipertahankan sebagai ejen penyatuan.
“Saya tidak boleh menerima rakyat Malaysia yang tidak mahir dalam bahasa kebangsaan. Ia adalah bahasa kita, dan kita mesti menguasainya dengan baik,” katanya.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menekankan bahawa kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara bergantung kepada dasar inklusif yang merangkul semua masyarakat tanpa mengira kaum atau latar belakang.
“Negara ini hanya akan berjaya jika kita mempunyai dasar dan hala tuju yang jelas untuk merangkul setiap rakyat Malaysia supaya mereka merasakan diri dilindungi dan dihargai.
“Dengan itu, kita mampu bertahan sebagai sebuah negara yang menzahirkan kasih sayang kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Anwar berkata tiada sebab untuk meminggirkan usaha menguasai bahasa Inggeris atau bahasa lain.
“Tiada sebab kenapa kita perlu pinggirkan usaha atau menyukarkan sesiapa yang ingin meningkatkan tahap penguasaan mereka dalam bahasa Inggeris, Cina, Tamil, Arab atau Perancis,” kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial