AM

ASEAN Langkah Ke Fasa Baharu Agenda Pembinaan Komuniti - Dr Kao

09/09/2025 09:20 PM

MELAKA, 9 Sept (Bernama) -- ASEAN melangkah ke fasa baharu dalam agenda pembinaan komuniti dengan hala tuju lebih tersusun serta berwawasan tinggi dalam usaha membanteras jenayah rentas negara, kata Setiausaha Agung Dr Kao Kim Hourn.

Beliau berkata Kepengerusian Malaysia dengan bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” telah merekodkan pelbagai kejayaan, antaranya ASEAN 2045 iaitu pelan hala tuju yang diluluskan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Mei lepas.

“Perkembangan ini jelas menunjukkan komitmen ASEAN dalam memupuk keterangkuman dan integrasi serantau dengan merangka Visi Komuniti ASEAN 2045 dan empat pelan strategik merangkumi keselamatan politik, ekonomi dan komuniti sosiobudaya serta keterhubungan ASEAN,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) dan mesyuarat berkaitan di sini hari ini.

Beliau berkata antara perkembangan utama ialah pengumuman penyertaan Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bulan depan, sekali gus mencerminkan komitmen blok itu terhadap keterangkuman dan integrasi serantau.

“Saya menantikan rundingan bersama ASEAN Campur Tiga akan datang, memandangkan kerjasama ini amat penting dalam memperkukuh usaha penguatkuasaan undang-undang serta menyelaraskan pendekatan serantau dan antarabangsa terhadap cabaran bersama, kerana jenayah antarabangsa tidak terbatas oleh sempadan,”  katanya.

ASEAN mengulangi komitmen untuk menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11 pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober, selaras dengan keputusan dicapai pada Sidang Kemuncak ke-46.

Kao turut menekankan kemajuan ASEAN dalam mengukuhkan perdagangan serantau menerusi penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN dan memperluas kerjasama ekonomi dengan rakan luar, sekali gus memperkukuh pertumbuhan mampan dan transformasi digital.

Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan bahawa peluang yang terhasil daripada integrasi dan pendigitalan turut disertai risiko baharu, apabila rangkaian jenayah mengeksploitasi ekonomi terbuka, sempadan yang longgar dan teknologi baharu untuk mempelbagaikan kegiatan merangkumi pemerdagangan manusia dan jenayah siber hinggalah kepada pengubahan wang haram serta kesalahan alam sekitar.

“Ancaman sebegini menjejaskan kestabilan ekonomi, melemahkan institusi dan menghakis kepercayaan rakyat. Paling membimbangkan, ia memberi kesan kepada komuniti kita yang paling terdedah. Saya berharap komitmen ini dapat diterjemahkan kepada bentuk kerjasama konkrit, tindakan selaras serta hasil nyata,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan. Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman serta pegawai kementerian dan agensi di bawahnya.

AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan berlangsung pada 8 hingga 12 Sept ini, bersempena dengan Kepengerusian ASEAN 2025 bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan", yang mencerminkan komitmen negara untuk membina komuniti ASEAN lebih selamat dan makmur.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan