BUKIT MERTAJAM, 9 Sept (Bernama) -- Pulau Pinang kini mempunyai satu lagi permata terbaharu, Penang River Cruise iaitu pelayaran santai bot pelancongan sepanjang 15 kilometer dengan menikmati keindahan semula jadi Sungai Juru dan khazanah budaya warisan Seberang Perai.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata pelayaran itu menyajikan pengalaman unik kepada pengunjung dengan menyusuri perkampungan nelayan tradisional, ladang akuakultur kerang, hutan paya bakau dan panorama Bukit Juru yang menghijau.
Beliau berkata Penang River Cruise bukan sahaja menambah tarikan pelancongan kepada negeri itu, malah menyerlahkan Seberang Perai sebagai destinasi yang semakin mendapat tempat di hati pelancong.
“Cruise itu mengangkat Sungai Juru sebagai simbol keharmonian antara alam semula jadi dan budaya tempatan. Ia juga membuka ruang kepada pelancong untuk menikmati pengalaman interaktif seperti menangkap ketam, menjala ikan dan mengutip kerang.
“Pelancong dari dalam dan luar negara juga berpeluang melihat kepelbagaian flora dan fauna tempatan termasuk monyet daun perak, tupai gergasi hitam, pelbagai spesies burung, biawak dan ular air yang jarang ditemui,” katanya selepas merasmikan Penang River Cruise di Autocity Juru di sini hari ini.
Projek Penang River Cruise atau pelayaran bot pelancongan itu diketuai Auto-City Group dengan kerjasama Majlis Bandaraya Seberang Perai selaku pihak berkuasa tempatan, Think City Sdn. Bhd (Think City), Penang Global Tourism dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah.
Wong berkata pelayaran yang mengambil masa kira-kira dua jam itu turut menampilkan pemandangan matahari terbenam yang mempesona dan fenomena semula jadi ‘cermin langit’ iaitu permukaan air memantulkan imej rumah air, bot nelayan dan kehijauan tebing sungai seperti lukisan hidup.
“Produk pelancongan baharu ini turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat dengan menjadikan Juru Auto City sebagai pusat pelancongan bersepadu, menggabungkan budaya makanan, hiburan dan keindahan alam semula jadi,” katanya.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Autocity Gary Teoh berkata Penang River Cruise telah beroperasi sejak tiga bulan lepas dan mendapat permintaan yang baik daripada pelancong termasuk dari luar negara iaitu China, Hong Kong dan Amerika Syarikat.
Beliau berkata produk pelancongan baharu itu menyasarkan untuk mentransformasikan Sungai Juru dan Bukit Juru menjadi destinasi ekopelancongan serantau, menghidupkan semula kawasan itu di tengah-tengah pembangunan bandar yang merangkumi perindustrian, komersial serta perumahan.
“Selain itu, meningkatkan taraf hidup nelayan tempatan, belia kampung dan golongan wanita. Jadi, Penang River Cruise juga adalah satu lagi produk ekopelancongan di bahagian Seberang Perai yang akan melengkapkan daya tarikan pelancongan ke negeri ini.
“Mereka yang menyertai pelayaran santai bukan duduk di atas bot semata-mata tetapi akan ada aktiviti lain seperti mencerap burung hijrah, menangkap ikan menggunakan jala atau sauk kerang dengan jaring atau sangkar keras serta menikmati laut yang terbentang luas (di hilir Sungai Juru),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial