KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Rakyat negara ini diseru untuk turut menyumbang bahan berkaitan ASEAN atau sejarah Malaysia kepada Arkib Negara dalam usaha memperkayakan lagi sumber sahih sejarah tanah air.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata perkara itu penting kerana sejarah bukan sahaja menjadi rujukan akademik tetapi juga sumber ilmu untuk memahami bagaimana ASEAN membina asas kerjasama serantau sejak lebih lima dekad lepas.
“(Usaha) Ini mampu menjadi panduan kepada generasi akan datang dalam menghadapi cabaran geopolitik, ekonomi dan sosial yang semakin kompleks,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bicara Sejarah ASEAN bertajuk “Keterangkuman dan Kemampanan” anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Arkib Negara Malaysia (ANM) di sini hari ini.
Aaron berkata naratif sejarah ASEAN yang dipelihara akan memperlihatkan betapa nilai perpaduan, kerjasama dan saling menghormati telah lama menjadi teras hubungan antara negara di rantau ini.
“Dengan itu, penghayatan sejarah bukan sahaja memperkukuh jati diri kebangsaan malah memperteguh perasaan kebersamaan serantau yang amat diperlukan dalam membina masa depan lebih stabil dan harmoni.
“Sejarah ASEAN adalah sejarah kita bersama. Ia bukan hanya milik pemimpin negara tetapi warisan untuk seluruh rakyat Asia Tenggara,” katanya.
Bicara Sejarah ASEAN adalah wadah ilmiah bertujuan membincangkan serta memfokuskan kepada sejarah dan warisan kolektif negara anggota ASEAN, termasuk Malaysia.
Selain itu, sesi berkenaan turut menyumbang kepada usaha memperkukuh semangat cintakan sejarah, budaya dan patriotisme di samping menyemai rasa kebersamaan, keprihatinan serantau serta tanggungjawab kolektif dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai sebahagian daripada komuniti ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial