AM

CKHT: Transaksi Pertukaran Pemilikan Hartanah Perlu Dilapor Kepada Hasil

09/09/2025 11:47 AM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Kedua-dua pihak yang melaksanakan sebarang transaksi melibatkan pertukaran pemilikan hartanah di Malaysia perlu melaporkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) dalam tempoh 60 hari dari tarikh transaksi bagi tujuan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT).

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Operasi Setem & Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT)) HASiL Azman Muhammad berkata sebagai contoh, transaksi jual beli, pindah hak, pindah milik dan serah hak hartanah perlu dilakukan menerusi portal MyTax. 

“Tanggungjawab pelupus (penjual) dan pemeroleh (pembeli) untuk melaporkan pelupusan dan pemerolehan aset kepada HASiL … ada juga yang lapor tetapi lewat, kalau lewat (lapor) akan dikenakan penalti lewat di bawah Seksyen 29 (3) Akta CKHT.

“Tindakan pendakwaan pula boleh diambil bagi yang gagal menghantar Borang Nyata CKHT, denda tidak melebihi RM5,000 dan boleh dipenjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika menjadi tetamu Bernama Radio untuk program Klinik Cukai bertajuk Pelajari Ilmu CKHT, hari ini.

Azman berkata antara tujuan pewujudan CKHT adalah untuk membantu tingkatkan hasil negara, mendidik masyarakat tentang tanggungjawab percukaian dan mengawal spekulasi dalam pasaran hartanah. 

"CKHT ini cukai yang dikenakan kepada keuntungan modal, keuntungan modal sepatutnya tak kena cukai tetapi dalam kes ini tak patut dikecualikan sebab bernilai tinggi dan aktiviti spekulasi yang memang tinggi.

“… rakyat Malaysia yang betul-betul memerlukan rumah kediaman ini terpaksa membeli dengan harga yang mahal oleh kerana aktiviti spekulasi yang ada dalam transaksi (penjualan) hartanah. Justeru, kerajaan berpandangan kita perlu stabilkan pasaran hartanah di Malaysia untuk membantu rakyat (menerusi CKHT),” katanya. 

Azman berkata kadar CKHT dikira berdasarkan tempoh pegangan hartanah dan kadar cukai akan berkurang mengikut tempoh pegangan hartanah itu, bergantung kepada kategori pelupus.

Sebagai contoh, beliau berkata individu yang menjual hartanah dalam tempoh tiga tahun pertama akan dikenakan kadar cukai yang agak tinggi, iaitu 30 peratus, diikuti penjualan pada tahun keempat (20 peratus), manakala bagi tahun kelima (15 peratus). 

Bagi tahun keenam dan seterusnya, individu yang menjual hartanah tidak lagi dikenakan cukai. 

Beliau berkata perincian kadar CKHT untuk  lain-lain kategori termasuk individu, syarikat dan warga asing boleh disemak menerusi laman rasmi HASiL di www.hasil.gov.my.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan