SUKAN

Aaron-Wooi Yik Bermandi Peluh, Pearly-Thinaah Mudah Ke Suku Akhir Kejohanan Dunia

29/08/2025 01:02 AM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama)  -- Bekas juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuktikan mereka pasangan beregu lelaki utama negara selepas menundukkan cabaran sengit daripada rakan senegara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan Dunia 2025 di Paris, Khamis.

Bertanding pada pusingan ketiga di Adidas Arena, Aaron-Wooi Yik bermula agak perlahan dengan tewas 18-21 pada set pertama.

Bagaimanapun, beregu pilihan kedua itu bangkit untuk memaksa set penentuan selepas menang 21-18 pada set kedua.

Set penentuan menyaksikan kedua-dua pasangan bertarung sengit, kekal seimbang 24-24 sebelum Aaron-Wooi Yik mengekalkan fokus dan menamatkan perlawanan 26-24 dalam tempoh 64 minit.

Dalam suku akhir esok, mereka bakal bertemu sama ada beregu pilihan kesembilan dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, atau pilihan keenam dan pemenang pingat perak Paris 2024 dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Sementara itu, pasangan beregu wanita nombor satu negara Pearly Tan-M. Thinaah tidak menghadapi masalah besar untuk mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Indonesia, Lanny Tria Mayangsari-Siti Fadia Silva Ramadhanti, 21-12, 21-11 dalam masa hanya 29 minit.

Pearly-Thinaah akan berdepan pasangan adik-beradik Stoeva Gabriela dan Stefani dari Bulgaria atau pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto, untuk menentukan tempat di separuh akhir esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan