JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM Terengganu Sasar Peserta Paling Ramai MBOR Menerusi Program Antirasuah

29/08/2025 12:05 AM

KUALA TERENGGANU, 28 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu bekerjasama dengan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun menganjurkan program 'Mega Fiesta TVET POLYCC 2025' bermula 15 Julai lepas hingga 25 Sept ini.

Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid berkata program yang menyasarkan penyertaan lebih 30,000 peserta itu dijangka direkodkan dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) bagi 'pameran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan peserta paling ramai' atau ‘The Largest Turn Out in TVET Fair’. 

“Majlis penganugerahan sijil Malaysia Book Of Records ini akan diadakan pada 25 Sept 2025 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hazrul Shazreen berkata terdahulu pihaknya telah menganjurkan dua program antirasuah sebagai sebahagian daripada program di bawah Mega Fiesta TVET POLYCC 2025 iaitu Diskusi Antirasuah Dana Awam Tahun 2025 dan Pertandingan Diorama Antirasuah yang dilaksanakan secara serentak di pejabat SPRM Terengganu di sini, semalam.

Jelasnya program diskusi berkenaan yang dihadiri lebih 100 peserta dapat menyuntik kesedaran tentang kepentingan nilai-nilai murni seperti jujur, amanah dan bertanggungjawab yang perlu diterapkan sejak usia muda.

“Pertandingan Diorama Antirasuah pula bertujuan untuk mendekati kumpulan penuntut TVET bagi memberikan pengetahuan tentang bahaya jenayah rasuah. 

“Program ini juga menggalakkan kreativiti dengan menterjemahkan mesej antirasuah menerusi ciptaan seni diorama yang bakal memupuk kesedaran antirasuah yang tinggi dalam kalangan peserta sekali gus menerapkan elemen jati diri secara berterusan,” katanya. 

Beliau berkata sebanyak 20 ciptaan diorama berjaya dihasilkan para peserta dan akan digunakan sebagai bahan pameran dalam setiap aktiviti pendidikan antirasuah SPRM Terengganu.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan