JOHOR BAHRU, 28 Ogos (Bernama) --Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyeru penduduk di daerah Segamat supaya kekal bertenang susulan beberapa gegaran gempa bumi lemah yang berlaku di kawasan itu sejak beberapa hari lalu.
Orang ramai yang merasai gegaran digalakkan mengisi borang soal selidik MetMalaysia bagi membantu pihak berkuasa mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut menerusi pautan: https://forms.gle/2oEMtASN33W6TV9g7.
“Saya juga telah meminta pegawai-pegawai di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sekijang untuk sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan sejak gegaran pertama berlaku lagi.
“Orang ramai yang memerlukan bantuan segera boleh menghubungi hotline Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sekijang di talian 012-4915141,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Dr Zaliha berkata gegaran gempa bumi lemah di Segamat dengan magnitud 2.5 kira-kira pukul 7.56 malam tadi tidak melibatkan kecederaan atau kerosakan harta benda.
Terdahulu, MetMalaysia mengesahkan gempa bumi bermagnitud 2.5 pada skala Richter berlaku di Segamat pada pukul 7.56 malam, dengan pusat gempa dikesan pada kedudukan 2.6 darjah utara dan 102.8 darjah timur, kira-kira 13 kilometer utara Segamat, pada kedalaman 10 kilometer.
Semalam, MetMalaysia mengesahkan gegaran lemah berukuran 3.2 pada skala Richter berlaku di Segamat pada pukul 8.59 pagi, dirasai di beberapa kawasan di Johor dan selatan Pahang.
Ahad lepas, MetMalaysia merekodkan dua kejadian gempa bumi lemah, masing-masing berukuran 4.1 di Segamat pada pukul 6.13 pagi dan magnitud 2.8 di Yong Peng, 28 kilometer barat laut Kluang, pada pukul 9 pagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial