KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), menerusi Pusat Sebaran Maklumat Negara (NADI), akan menyokong inisiatif Heard the News? Read With Me, dengan memperluas jangkauannya ke seluruh negara, termasuk ke kawasan luar bandar dan kawasan kurang menerima liputan.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa berkata dengan lebih 1,099 pusat NADI di seluruh negara, inisiatif itu akan memberi manfaat kepada komuniti yang paling terpencil, dari pedalaman Sabah dan Sarawak hingga ke kampung-kampung di Kedah dan Kelantan.
Beliau berkata banyak lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih bergelut dengan pemahaman dan keyakinan dalam Bahasa Inggeris, sambil memetik bahawa Malaysia berada pada kedudukan ke-26 dalam 2024 Education First English Proficiency Index.
“Bahasa pada hari ini bukan sekadar alat untuk berkomunikasi, ia juga merupakan laluan kepada pelbagai peluang. Bahasa Inggeris secara meluas diiktiraf sebagai bahasa antarabangsa dalam bidang sains, teknologi, perniagaan dan diplomasi.
“Belajar Bahasa Inggeris di dalam bilik darjah sahaja tidak mencukupi. Kita mesti mewujudkan peluang harian untuk menggunakannya dan alaminya, dan inilah sebab utama mengapa inisiatif ini begitu penting,” katanya semasa pelancaran inisiatif Heard the News? Read With Me anjuran New Straits Times (NST) di IWK Eco Park hari ini.
Turut hadir ahli Suruhanjaya MCMC Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Pengerusi Kumpulan Media Prima Bhd Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.
Mohamad Fauzi turut merakamkan ucapan tahniah kepada NST sempena ulang tahunnya yang ke-180, sambil menyifatkan akhbar itu sebagai “tonggak kepada kredibiliti, hubungan dan kesedaran nasional” yang terus berinovasi demi generasi akan datang.
Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan NST Farrah Naz Karim dalam ucapannya berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen NST terhadap kebolehcapaian dan inovasi, dengan menjadikan kandungan berita lebih mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.
Program ini, yang dilancarkan sempena ulang tahun ke-180 NST dengan kerjasama MCMC, memperkenalkan artikel berita audio pertama di Malaysia yang menggunakan kod QR, bertujuan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, pemikiran kritikal dan literasi media.
Pembaca boleh mengimbas kod QR pada artikel terpilih NST, untuk mendengar versi audio yang dilafazkan, manakala pusat NADI akan memperluas lagi promosi inisiatif ini dengan menyediakan akses kepada edisi NST serta membiasakan komuniti luar bandar dengan kandungan digital.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial