AM

UniMAP Perkasakan Usaha Mengantarabangsakan Pendidikan Tinggi Negara

28/08/2025 06:27 PM

KANGAR, 28 Ogos (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkasakan usaha mengantarabangsakan pendidikan tinggi negara menerusi strategi pengantarabangsaan bersifat menyeluruh khususnya dalam bidang kejuruteraan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta teknologi berimpak tinggi.

Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zaliman Sauli berkata dalam ekosistem pendidikan tinggi global yang semakin kompleks, universiti tidak lagi boleh bersifat eksklusif atau terasing daripada perkembangan  antarabangsa sebaliknya ia harus menjadi pemacu utama jaringan ilmu, teknologi dan inovasi merentas sempadan negara.

“Selaras dengan dasar Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025, yang menggariskan 10 Lonjakan utama, dan Lonjakan Kelapan iaitu Keunggulan Global menekankan pengantarabangsaan sebagai pemacu daya saing negara.

“Pendekatan ini memastikan akses anak-anak tempatan kekal terpelihara, sambil menarik pelajar antarabangsa berkualiti tinggi untuk memperkukuh reputasi universiti di peringkat dunia. Aspirasi UniMAP adalah untuk muncul sebagai pakar rujuk serantau dalam TVET, sekali gus menyokong agenda Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaliman berkata mobiliti antarabangsa adalah antara aspek terpenting dalam strategi pengantarabangsaan UniMAP yang setakat ini menerusi program Credited Mobility-Inbound, menerima 32 pelajar antarabangsa daripada pelbagai institusi antaranya Institut Teknologi Sumatera di Indonesia, Université de Technologie de Compiègne, Perancis dan Rajamangala University of Technology Srivijaya, Thailand.

Selain itu, institusi lain terlibat ialah Gayatri Vidya Parishad College of Engineering (India), Universitas  Syiah Kuala (Indonesia), Prince of Songkla University (Thailand), Maejo University (Thailand), Walailak University (Thailand) serta ENSI Caen (Perancis) manakala 11 pelajar UniMAP menyertai International Internship Programme termasuk di Jepun dan Turkiye.

Beliau berkata pengantarabangsaan bukan sekadar trend tetapi satu keperluan untuk memastikan kelestarian pendidikan teknikal dalam dunia moden dan UniMAP mengiktiraf kepelbagaian pelajar, tenaga akademik dan rakan industri antarabangsa yang akan memperkukuh keupayaan universiti melahirkan graduan berdaya saing, berfikiran global dan berakar pada identiti tempatan.

“Salah satu kekuatan UniMAP ialah hubungan rapat dengan industri utama teknologi terkini, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Setakat ini, UniMAP mempunyai lebih 220 memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) serta lebih 1,000 projek penyelidikan bersama industri.

“Melalui pengantarabangsaan, UniMAP memperluas rangkaian kolaborasi industri yang mampu menawarkan peluang latihan, penyelidikan bersama serta pemindahan teknologi. Ini dapat dilihat hasil kerjasama bersama industri ternama seperti Intel, Micron, B.Braun, Huawei, Fuji Electric, Altera, Nihon  Superior, Qatar Airways dan pelbagai lagi,” katanya.

Zaliman berkata pelajar antarabangsa yang menimba ilmu di UniMAP akan bertindak sebagai duta kecil Malaysia di negara asal mereka yang membuka laluan kepada kerjasama baharu dalam bidang kejuruteraan, TVET dan teknologi.

“Kehadiran pelajar antarabangsa di UniMAP bukan sahaja memperkayakan suasana akademik, malah mendorong kolaborasi industri-akademia yang lebih luas. Melalui perkongsian pengetahuan, mobiliti akademik serta kerjasama teknikal dengan universiti dan industri luar negara, UniMAP membina ekosistem  pembelajaran yang inklusif, relevan, berimpak dan berpaksikan realiti global,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata peningkatan jumlah pelajar antarabangsa di UniMAP yang kini lebih 470  pelajar mencerminkan pengiktirafan global terhadap kualiti akademik dan penyelidikan universiti itu.

“Dengan kekuatan dalam bidang kejuruteraan dan TVET, UniMAP komited untuk menawarkan program pendidikan yang relevan dengan keperluan industri serantau dan global.

“Pencapaian UniMAP dalam ranking THE (Times Higher Education), kerjasama penyelidikan, inovasi  teknikal serta penglibatan dalam rangkaian universiti teknikal antarabangsa memperkukuh reputasi universiti dan negara di pentas global,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan