POLITIK

Ahli Parlimen BN Minta RUU PSB Ditangguhkan Sementara - Mohamad

28/08/2025 06:19 PM

SEREMBAN, 28 Ogos (Bernama) -- Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berharap bacaan kedua Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau Urban Renewal Act (URA) ditangguhkan sementara dengan mengambil kira kebimbangan banyak pihak.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi melalui sesi libat urus secara menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan.

“Saya berpandangan RUU PSB ini yang telah pun dibaca untuk kali pertama di Dewan Rakyat dicadangkan untuk (dinilai semula) dari segi kelompongan.

“Saya telah bermesyuarat dan berjumpa dengan semua ahli Parlimen BN, kami menyatakan kebimbangan dan mahu supaya RUU ini ditangguhkan, dan dibuat keterlibatan secara tuntas dengan semua  pihak,” katanya kepada pemberita selepas program Penyampaian Sumbangan Ahli Parlimen Rembau di Dewan Orang Ramai Rantau hari ini.

Menteri Luar itu berkata BN berharap supaya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menangguhkan RUU tersebut dan mengadakan rundingan bersama semua pihak sebelum ia dibawa semula untuk diluluskan di Parlimen.

“Ini supaya apabila RUU ini diluluskan nanti, tidak ada mana-mana pihak yang menjadi mangsa. Kami bimbang dengan isu threshold yang dicadangkan, pada asalnya memerlukan persetujuan 100 peratus daripada semua pemilik premis, tetapi kini mahu diturunkan kepada 80 peratus sahaja. Persoalannya, bagaimana dengan hak 20 peratus lagi? Perkara ini perlu diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

RUU PSB 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, sebelum ini antara lain bertujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil dan inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang mampan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan