KOTA SAMARAHAN, 28 Ogos (Bernama) -- Nilai HEMAT yang merangkumi Hijrah Tata Kelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi dan Telus Tadbiran yang diperkenalkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terbukti mampu meningkatkan tahap pengurusan kendiri serta prestasi kerja penjawat awam.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata hasil tinjauan semasa Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam pada 18 Jun lepas, mendapati kesemua 5,396 responden bersetuju nilai berkenaan menyumbang kepada peningkatan sebanyak 57 peratus dalam aspek pengurusan kendiri.
Beliau yakin nilai HEMAT itu berupaya membantu meningkatkan hingga 64 peratus prestasi serta kualiti kerja.
“Nilai ini bersifat peribadi dan mudah diterapkan dalam tugasan harian selain menjadi faktor intrinsik yang mendorong tindakan positif dalam kalangan penjawat awam.
“Selain itu, (HEMAT) menjadi pedoman kepada setiap pegawai dalam usaha melakar budaya kerja baharu yang progresif, inklusif dan berdaya saing. Setiap nilai mempunyai definisi serta penegasannya yang tersendiri,” katanya ketika berucap pada program Bicara Aspirasi HEMAT: Nadi Reformasi Perkhidmatan Awam di sini hari ini.
Program berkenaan dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Sarawak (INSARA) dengan kerjasama strategik Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Wan Ahmad Dahlan berkata dapatan sama turut direkodkan menerusi siri forum bicara di Kelantan, Terengganu, Sabah, Pulau Pinang, Perak serta bersama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sejak tahun lepas.
Beliau berkata antara 83.6 hingga 89.5 peratus responden dikenal pasti sebagai kelompok inovator yang bersedia mengamalkan nilai terbabit, berdasarkan teori diffusion of innovation yang menekankan tahap penerimaan awal terhadap sesuatu perubahan.
“Sebagai penjawat awam, kita dituntut bukan sekadar memahami perubahan, tetapi juga mendahulukan serta mempermudah urusan dengan pihak berkepentingan atau pelanggan, khususnya rakyat.
"Sesuaikan cara bekerja agar seiring dengan aspirasi kerajaan serta laksanakan setiap tugas dengan pantas dan tuntas. Hasilnya, penyampaian perkhidmatan pasti akan lebih prihatin, responsif dan cepat terhadap keperluan rakyat,” katanya.
Majlis yang dihadiri kira-kira 1,600 penjawat awam negeri dan Persekutuan di Sarawak itu turut menyaksikan pelancaran buku Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz: Segunung Budi, Selaut Warisan yang mendokumentasikan inisiatif, strategi dan iltizam kepimpinan beliau.
Buku itu bakal menjadi sumber rujukan penting serta inspirasi dalam memperkukuh usaha penambahbaikan, memacu inovasi dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial