JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Sahkan Lebih 400 Individu Ditahan Kes Sindiket Penipuan Dalam Talian

28/08/2025 04:33 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Polis mengesahkan lebih 400 individu disyaki terbabit dalam sindiket penipuan dalam talian ditahan di ibu negara, Selasa lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata satu sidang media akan dilakukan dalam masa terdekat berhubung kes berkenaan.

"Saya sahkan perkara itu berlaku dan tangkapan melibatkan jumlah yang ramai," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Semalam, media tempatan melaporkan polis menumpaskan sindiket perjudian dan penipuan dalam talian terbesar di ibu negara selepas menahan lebih 100 individu dalam serbuan di sebuah menara komersial di Bangsar South di sini. 

Ia turut mencetuskan spekulasi di media sosial yang mendakwa bangunan itu mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat atau broker dalam talian serta didakwa tidak memiliki lesen Bank Negara Malaysia (BNM) selain berdepan rungutan pelanggan yang gagal mengeluarkan wang.

Dalam perkembangan berasingan, Fadil berkata dua kejadian melibatkan pelajar institut pendidikan tinggi swasta di Setapak yang terjatuh dari sebuah kondominium di Persiaran Pertahanan, Taman Melati, di sini pada 20 Ogos lepas, tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan secara menyeluruh termasuk dakwaan berlakunya kejadian buli.

"Siasatan itu di bawah Seksyen 507B Kanun Keseksaan selari dengan kertas siasatan yang dibuka di bawah mati mengejut (SDR),” katanya.

Dalam insiden pertama pada 6.48 pagi, seorang pelajar wanita berusia 22 tahun dilaporkan terjatuh dari tingkat 22 dan ditemukan di tingkat lapan kondominium itu sebelum disahkan meninggal dunia.

Bedah siasat mendapati punca kematian adalah pelbagai kecederaan dialami akibat terjatuh dari tempat tinggi dan pemeriksaan di lokasi tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai SDR.

Dalam insiden kedua pada 9.35 malam, seorang lelaki berumur 21 tahun dilaporkan terjatuh dari tingkat 35 dan ditemukan di bahagian belakang kondominium itu sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Siasatan mendedahkan kedua-dua mangsa belajar di kolej swasta yang sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan