AM

MARA Sasar Kutipan RM1 Bilion Bayaran Balik Pinjaman Tahun Ini

26/08/2025 04:27 PM

KANGAR, 26 Ogos (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan kutipan bayaran balik pinjaman sekurang-kurangnya RM1 bilion pada tahun ini, melibatkan skim pembiayaan keusahawanan dan pendidikan.

Ketua Pengarah MARA Datuk Zulfikri Osman berkata setakat Ogos ini, prestasi kutipan berada di landasan yang baik untuk mencapai sasaran itu meskipun terdapat sebahagian peminjam yang berdepan cabaran membayar semula.

“Kalau kita beri pinjaman kepada 10 usahawan, biasanya lima tidak ada masalah membuat bayaran balik manakala lima lagi berdepan kesukaran. Namun MARA menyediakan pilihan termasuk penjadualan semula bagi membantu mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Himpunan Usahawan Negeri Perlis 2025 di sini hari ini.

Zulfikri berkata daripada kira-kira 1.5 juta perniagaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, lebih 80 peratus adalah usahawan mikro dengan jualan tahunan kurang RM300,000.

“Hasrat kita ialah meningkatkan status usahawan mikro ini kepada perusahaan kecil seterusnya sederhana. MARA mempunyai ekosistem lengkap daripada aspek pembangunan modal insan, pembiayaan, khidmat nasihat hingga penyediaan premis perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Zulfikri berkata seramai 2,000 usahawan di Perlis menerima kemudahan MARA dengan peruntukan RM20 juta yang berjaya menjana jualan berjumlah RM51.5 juta serta mewujudkan lebih 3,500 peluang pekerjaan pada tahun ini.

“Alhamdulillah sambutan pada Himpunan Usahawan Negeri Perlis sangat menggalakkan. Melalui program ini, usahawan perlu melihat potensi yang ada termasuk projek Kawasan Perindustrian Lembah Chuping serta peluang perdagangan rentas sempadan dengan Thailand,” katanya.

Himpunan itu turut menampilkan sesi Bicara Naratif oleh Ketua Pengarah MARA selain Bless Talk bertajuk ‘Hab Logistik Wilayah Utara: Adakah Perlis Bersedia?’ melibatkan panel daripada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara dan industri swasta.

Himpunan itu berjaya mengumpul 350 usahawan dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk SME Corporation Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga, Amanah Ikhtiar Malaysia, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Felcra Berhad serta GIATMARA Perlis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan