KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat Dewan Rakyat, Parlimen ke-15, mengesyorkan penggubalan satu akta khusus bagi mengawal selia dan membangunkan sektor penjagaan serta pendidikan awal kanak-kanak berumur 0 hingga enam tahun di Malaysia.
Pengerusi jawatankuasa berkenaan Yeo Bee Yin berkata sektor pendidikan awal kanak-kanak masih berdepan cabaran besar dari segi dasar dan tadbir urus.
“Antara isu yang dikenal pasti adalah ketiadaan dasar menyeluruh, pertindihan fungsi antara pelbagai agensi, ketiadaan akta khusus serta agensi tunggal sebagai penyelaras, selain kekurangan peruntukan tetap.
“Hal ini menjejaskan pelaksanaan program pendidikan awal kanak-kanak secara bersepadu dan mampan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini. Turut hadir ialah Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera), Rodziah Ismail (PH-Ampang), Halimah Ali (PN-Kapar) dan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang).
Yeo, yang juga Ahli Parlimen Puchong berkata jawatankuasa itu mengesyorkan tanggungjawab kawal selia dan pembangunan bagi sektor penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak diletakkan di bawah satu agensi seperti Early Childhood Development Authority (ECDA) di Singapura.
Sehubungan itu, jawatankuasa tersebut mengesyorkan penubuhan Majlis Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan bagi menyelaras agenda penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak merentasi kementerian.
Pada 19 Ogos lepas, jawatankuasa itu membentangkan satu penyata di Dewan Rakyat mengenai Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Malaysia, hasil libat urus kementerian, jabatan, universiti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta lawatan kerja ke Singapura.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial