AM

Gobind Umum Pelantikan 13 Ahli Parlimen Sebagai Rakan Kementerian

25/08/2025 07:21 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Menteri Digital Gobind Singh Deo hari ini mengumumkan pelantikan 13 Ahli Parlimen sebagai Rakan Kementerian (FoM), satu inisiatif baharu yang diperkenalkan bagi memperkukuh agenda digital negara.

Ahli Parlimen itu terdiri Ganabatirau Veraman (Klang), Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera), Jimmy Puah Wee Tse (Tebrau), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam), Azli Yusof (Shah Alam), Datuk Matbali Musah (Sipitang) dan Datuk Anyi Ngau (Baram).

Turut dilantik ialah Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Kuching), Young Syefura Othman (Bentong), Ahmad Johnie Zawawi (Igan), Lee Chuan How (Ipoh Timor) dan Roy Angau Gingkoi (Lubok Antu).

Majlis pelantikan yang berlangsung di Kementerian Digital di Putrajaya itu diadakan selepas Kabinet meluluskan inisiatif berkenaan pada 21 Feb lepas yang asalnya dicetuskan oleh Kelab Penyokong Kerajaan. Backbenchers.

Gobind berkata FoM bertujuan memperkasakan peranan wakil rakyat penyokong kerajaan di Dewan Rakyat serta sebagai penghubung antara kementerian dan wakil rakyat, khususnya berkaitan isu dasar kerajaan serta pelaksanaan program.

“FoM akan melaksanakan beberapa fungsi utama, termasuk sebagai penyampai dasar pada peringkat akar umbi bagi membantu rakyat memahami dasar kerajaan dan manfaatnya, selain membina naratif positif untuk mewujudkan persepsi baik terhadap pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Ahli FoM juga akan menyediakan input dan kajian bagi menyokong kementerian dengan menyalurkan maklumat, cadangan dan penyelidikan terutama untuk perbahasan di Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli FoM turut berperanan sebagai medium komunikasi untuk menerangkan objektif serta manfaat inisiatif digital kepada rakyat dan menyokong rang undang-undang serta usul berkaitan digital di Parlimen.

Kementerian Digital komited untuk memastikan FoM berfungsi secara berkesan termasuk menyediakan maklumat yang menyeluruh dan terkini, mengutamakan penglibatan mereka dalam perancangan dasar serta mengekalkan hubungan erat melalui mesyuarat dan dialog berkala.

“Kementerian juga akan menyediakan platform untuk terlibat dalam programnya, selain menjamin akses kepada sumber, latihan dan bahan rujukan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan