DUNIA

Sultan Brunei Lakukan Lawatan Negara Ke Malaysia, Hadiri Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-26

25/08/2025 12:50 AM

PUTRAJAYA, 24 Ogos (Bernama) -- Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah akan berangkat ke Malaysia untuk lawatan negara mulai Isnin hingga Khamis, atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Lawatan itu akan disusuli Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia-Brunei ke-26 (ALC), menurut kenyataan Kementerian Luar pada Ahad.

Sultan Hassanal Bolkiah akan diiringi Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah, menteri-menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan Brunei semasa lawatan negara itu.

Menurut kementerian itu, Sultan Hassanal Bolkiah akan diberi sambutan negara di Istana Negara pada Selasa (26 Ogos), diikuti dengan Kunjungan Menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Satu majlis santapan negara bagi meraikan Sultan Hassanal Bolkiah dan delegasi Brunei akan dihoskan oleh Sultan Ibrahim,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang lawatan itu, Sultan Hassanal Bolkiah turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena ALC ke-26 pada Rabu (27 Ogos).

ALC merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Brunei yang menjadi wadah untuk kedua-dua pemimpin menilai kemajuan kerjasama sedia ada, menangani isu berbangkit serta bertukar pandangan mengenai hal serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Menurut kementerian itu, lawatan serta mesyuarat tahunan berkenaan mencerminkan hubungan istimewa yang lama terjalin antara Malaysia dan Brunei, sekali gus menegaskan komitmen bersama dalam memperkukuh kerjasama strategik untuk kemakmuran serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

Pada 2024, Brunei merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia dalam ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM7.53 bilion (US$1.77 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, jumlah dagangan Malaysia-Brunei mencecah US$690 juta (RM3.02 bilion), dengan eksport berjumlah US$500 juta (RM2.18 bilion) dan import US$190 juta (RM840 juta).

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan