KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati orang ramai supaya merujuk maklumat rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) susulan kejadian gempa bumi lemah yang dilaporkan berlaku di Segamat, Johor awal pagi tadi.
Beliau berkata METMalaysia kini menjalankan pemantauan susulan dan akan mengeluarkan maklumat dari semasa ke semasa.
"Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, saya menasihati orang ramai supaya kekal tenang dan hanya merujuk maklumat rasmi daripada METMalaysia.
"Elakkan menyebarkan berita yang tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Ahmad Zahid turut mengajak rakyat untuk sama-sama berdoa agar keadaan sentiasa terkawal dan semua rakyat berada dalam lindungan Allah SWT.
Terdahulu, METMalaysia memaklumkan gegaran pertama berukuran 4.1 pada skala Richter di Segamat berlaku pada 6.13 pagi manakala gegaran kedua pada 9 pagi bermagnitud 2.8 di kawasan Yong Peng di Batu Pahat, iaitu kira-kira 28 kilometer di barat laut Kluang.
Polis mengesahkan menerima tiga laporan kerosakan harta benda susulan gegaran itu namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial