AM

Sekretariat Suara Anak Kedah Serah Memorandum Desak Muhammad Sanusi Selesai Isu Rakyat

24/08/2025 05:51 PM

ALOR SETAR, 24 Ogos (Bernama) -- Sekretariat Suara Anak Kedah hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagi mendesak beliau menyelesaikan pelbagai isu utama rakyat di negeri berkenaan.

Pengarahnya Sulaiman Ibrahim berkata antara isu dalam memorandum itu ialah kegagalan slogan The Greater Kedah 2050 yang didakwa tidak memberi kesan nyata kepada kesejahteraan rakyat sebaliknya hanya retorik politik.

"Kerajaan negeri juga gagal menangani isu kadar pengangguran yang tinggi apabila lebih 100,000 anak muda Kedah masih tidak mempunyai pekerjaan meskipun kerajaan negeri mendakwa telah membawa masuk pelaburan besar.

"Sektor pelancongan juga dilihat gagal apabila fasiliti asas di lokasi utama didapati terbiar, kebersihan lemah dan Langkawi gagal menjana limpahan ekonomi kepada penduduk setempat yang masih hidup dalam kesusahan," katanya selepas menyerahkan memorandum itu di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau berkata memorandum itu turut mengetengahkan isu alam sekitar serta menuntut penutupan segera kuari di Gunung Pulai dan Gunung Baling yang beroperasi berhampiran penempatan penduduk selain dikatakan menjejaskan kesihatan, keselamatan dan biodiversiti.

Sulaiman juga mendakwa tumpuan pembangunan hanya diberikan di Kulim melalui projek Taman Teknologi Tinggi Kulim manakala daerah pedalaman seperti Baling, Sik dan Yan terus terpinggir daripada arus pembangunan.

Beliau berkata pihak sekretariat berharap agar Muhammad Sanusi dapat memberi penjelasan segera dan tindakan susulan akan diambil jika tiada sebarang maklum balas diberikan dalam tempoh terdekat.

"Menteri Besar boleh memberikan penjelasan sama ada pada sidang Dewan Undangan Negeri atau sidang media," katanya.

Sempena penyerahan memorandum berkenaan, pihak sekretariat Suara Anak Kedah turut mengadakan Himpunan Honggaq Kedah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan