JENAYAH & MAHKAMAH

PPM Gagalkan Cubaan Seludup Lebih 11 Kg Syabu Di Perairan Pulau Pinang

24/08/2025 04:14 PM

GEORGE TOWN, 24 Ogos (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) merampas lebih 11 kilogram (kg) syabu bernilai RM352,000 disyaki cuba diseludup keluar melalui perairan Pulau Pinang dalam satu operasi khas berhampiran Tanjung Gertak Sanggul, Teluk Kumbar di sini, Jumaat lepas.

Komander Pasukan PPM Wilayah Satu Pulau Pinang ACP Rusley Che Ari berkata operasi pada 8.10 malam itu dijalankan sepasukan tujuh anggota susulan maklumat risikan mengenai cubaan penyeludupan dadah melalui laut.

Beliau berkata dalam operasi itu pasukannya telah mengesan sebuah bot bergerak laju dalam keadaan mencurigakan menuju ke perairan antarabangsa dipercayai Indonesia tanpa menyalakan lampu navigasi.

“Pasukan PPM cuba memintas bot itu bagi pemeriksaan, namun sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan, suspek bertindak memecut laju dan mengemudi bot secara berbahaya. 

“Pasukan PPM kemudian melihat beberapa objek dibuang ke laut dari bot sebelum suspek berjaya meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusley berkata hasil pencarian di kawasan terletak kira-kira 1.9 batu nautika dari Tanjung Gertak Sanggul itu telah menemukan sebuah tong biru bertutup mengandungi 11 bungkusan teh Cina mengandungi ketulan mampat kristal jernih disyaki dadah jenis Methamphetamine (syabu) seberat 11.19 kg.

Kesemua rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan