AM

Kumpulan Rentas Parti Parlimen Cadang Rangka Dokumen Piawaian Ucapan Kebencian

21/08/2025 06:23 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Keharmonian Kaum dan Agama (KKA) bercadang merangka satu dokumen takrifan dan piawaian berhubung ucapan kebencian yang lebih sesuai dengan masyarakat majmuk di Malaysia.

Menurut kenyataan KRPPM-KKA, dokumen itu boleh digunakan sebagai garis panduan kepada penguatkuasaan undang-undang serta memperjelas peruntukan berkait ucapan kebencian dan isu 3R (kaum, agama dan raja) termasuk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Keselamatan Dalam Talian serta Kanun Keseksaan.

Proses rundingan dengan komuniti dan pihak berkepentingan akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memastikan dokumen itu sesuai dengan konteks dan keperluan Malaysia.

“Cadangan untuk merangka dokumen berkenaan dipersetujui dalam mesyuarat kedua KRPPM-KKA semalam yang dipengerusikan oleh Syahredzan Johan yang juga Ahli Parlimen Bangi selaku pengerusi KRPPM dan dihadiri ahli-ahli KRPPM termasuk Ahli-ahli Parlimen rentas parti,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menjelang Belanjawan 2026, KRPPM-KKA menyokong hasrat Kementerian Perpaduan Negara supaya peruntukan kepada setiap Kawasan Rukun Tetangga (KRT) ditingkatkan kepada RM10,000 daripada RM6,000 seperti sedia ada.

KRPPM-KKA juga mengesyorkan kerajaan memperkenalkan insentif pengecualian cukai kepada syarikat yang menyumbang kepada aktiviti-aktiviti perpaduan dan pembinaan kenegaraan.

“Selain itu, KRPPM-KKA berpandangan terdapat keperluan untuk Kerajaan MADANI menaikkan jumlah peruntukan pelaksanaan program perpaduan, kenegaraan dan integrasi nasional kepada RM100 juta menerusi Belanjawan 2026 berbanding RM50 juta pada Belanjawan 2025.

“KRPPM-KKA menegaskan komitmen untuk memastikan dasar dan sumber negara terus digerakkan bagi membina masyarakat yang lebih inklusif, bersatu padu dan harmoni,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) bersama-sama Ahli Parlimen lain mengajak orang ramai menyertai Perhimpunan Bersamamu Gaza dan 1000 Flotilla Nusantara Break the Siege di Dataran Merdeka, Ahad ini.

Mohd Shahar berkata BBC menyokong penuh terhadap inisiatif 1000 Flotilla Nusantara Break the Siege dan Sumud Nusantara, iaitu gerakan solidariti kemanusiaan yang diterajui Malaysia bersama rangkaian serantau dan antarabangsa bagi menamatkan sekatan zalim Israel terhadap Gaza.

“Ahli Parlimen turut beriltizam untuk membantu misi Flotilla mencapai matlamat memecah kepungan dan memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada rakyat Gaza tanpa halangan.

“Kami juga berikrar untuk menggerakkan segala usaha diplomatik dan perundangan yang diperlukan bagi mempertahankan keselamatan peserta Flotilla,” katanya.

Beliau berkata andai Israel bertindak agresif terhadap misi berkenaan, Malaysia menyokong tindakan undang-undang dan diplomatik antarabangsa yang sewajarnya diambil bagi memastikan rejim Israel dipertanggungjawabkan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan