AM

HRD Corp Perkenal Skim Graduan MADANI

22/08/2025 08:24 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Human Resource Development Corporation (HRD Corp) hari ini melancarkan Skim Graduan MADANI (SGM), satu inisiatif untuk memperkukuh pembangunan kemahiran graduan di samping membantu majikan dalam meningkatkan produktiviti tenaga kerja.

HRD Corp memaklumkan skim berkenaan membolehkan majikan berdaftar menyalurkan sebahagian caruman levi mereka ke dalam program latihan berstruktur dan pendedahan industri.

Ketua Eksekutif HRD Corp Dr Syed Alwi Mohamed Sultan berkata skim itu bukan sahaja meningkatkan daya saing tenaga kerja malah memastikan pembangunan graduan selari dengan keperluan industri.

“SGM mampu memberi manfaat kepada graduan dan majikan. Graduan mendapat pengalaman praktikal dan latihan industri, manakala majikan dapat membangunkan saluran bakat yang mampan.

“Program ini bertujuan melahirkan tenaga kerja berdaya tahan, produktif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

HRD Corp yang juga agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), memaklumkan inisiatif berkenaan mencerminkan tekad kerajaan untuk membangunkan tenaga kerja berkemahiran dan bersedia menghadapi masa depan.

Ia juga selari dengan prinsip 3K kementerian iaitu Kemahiran Pekerja, Produktiviti Pekerja dan Kebajikan Pekerja, di samping mengukuhkan agenda nasional dalam mewujudkan tenaga kerja Malaysia yang berdaya tahan serta berdaya saing.

Menurut kenyataan itu, SGM terbuka kepada graduan Malaysia yang telah menamatkan pengajian tinggi termasuk Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 4 ke atas dan sedang mencari pengalaman latihan kerja berstruktur pertama.

Antara ciri utama skim itu termasuk kewajipan peserta melengkapkan program pembangunan kemahiran selama 12 bulan manakala majikan berdaftar boleh menuntut hingga 50 peratus daripada baki levi bagi tahun permohonan untuk latihan yang dilaksanakan bermula 1 Jan 2025.

Permohonan geran di bawah SGM boleh dikemukakan oleh majikan berdaftar mulai 1 Jan 2026. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan