AM

PENTARAMA MERDEKA@HOHO Di Berjaya Times Square Suntik Jiwa Patriotisme Pengunjung

23/08/2025 11:26 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Sorakan ‘Merdeka’ bergema di ruang legar Berjaya Times Square malam ini apabila pusat beli-belah ikonik itu buat julung kalinya dipilih sebagai antara lokasi penganjuran program PENTARAMA MERDEKA@HOHO anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN).

Ketua Pengarah JAPEN Julina Johan berkata pemilihan Berjaya Times Square sebagai lokasi penganjuran memberi nilai tambah kerana pusat beli-belah itu bukan sahaja menjadi tarikan pelancong malah berkembang seiring dengan pembangunan Kuala Lumpur.

“Berjaya Times Square telah lama wujud dan menjadi tumpuan bukan sahaja pengunjung tempatan malah pelancong dari luar negara.

“Justeru, sepanjang Bulan Kebangsaan ini, kita mengambil kesempatan menjadikan lokasi ikonik ini sebagai pentas terbuka bagi menyemarakkan lagi semangat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata setiap lokasi yang disinggahi dalam jelajah itu menampilkan segmen persembahan berbeza yang menggabungkan elemen patriotik, budaya dan hiburan seiring dengan kepelbagaian masyarakat di negara ini.

“Kita harap persembahan bermula dari Berjaya Times Square malam ini dapat menyuntik semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat di samping menyampaikan mesej Hari Kebangsaan secara lebih jelas melalui pendekatan infotainment (maklumat hibur) yang dilaksanakan JAPEN,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Besar Pemasaran dan Promosi Berjaya Times Square Kuala Lumpur Alex Liew berkata pihaknya berbesar hati kerana pusat beli-belah berkenaan dipilih sebagai lokasi penganjuran program tersebut.

“Kami amat berbangga dapat bersama-sama meraikan sambutan ini sempena Bulan Kebangsaan di Berjaya Times Square… inisiatif ini bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia malah membuka ruang memperkenal budaya negara kepada pelancong... kami benar-benar teruja menjadi sebahagian daripada sambutan ini,” katanya.

Memasuki tahun kedua penganjurannya, program itu tampil dengan konsep lebih segar dan berimpak tinggi dengan menampilkan persembahan nyanyian, tarian serta kuiz interaktif bertemakan kenegaraan selain pengedaran Jalur Gemilang kepada orang ramai sebagai simbol penyatuan dan kebanggaan nasional.

Bernama turut berpeluang mengikuti jelajah Pentarama Merdeka@HOHO dengan menaiki bas KL Hop On Hop Off (HOHO) yang dihias khas menjadi pentas bergerak bagi mempromosikan mesej kenegaraan serta acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini di Dataran Putrajaya. 

Program yang bermula di Berjaya Times Square malam ini diteruskan ke Sungei Wang sebelum berakhir di Pavilion Kuala Lumpur dengan setiap hentian bas dijadikan pentas untuk menyemarakkan semangat patriotisme rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan