SUKAN

Sabah FC Diseru Tidak Terlalu Selesa Keputusan Positif Tempat Lawan

22/08/2025 07:17 PM

KOTA KINABALU, 22 Ogos (Bernama) -- Jurulatih Sabah FC Alto Linus menyeru pemainnya agar tidak terlalu selesa dengan dua keputusan positif di tempat lawan sebelum ini, menjelang perlawanan menentang Kelantan The Real Warriors FC (TRW) dalam aksi Liga Super di Stadium Likas di sini, malam esok.

Beliau berkata selepas seri 1-1 dengan Kuala Lumpur (KL) City FC dalam Liga Super dan mencatat kemenangan 6-0 ke atas Bunga Raya FC dalam pusingan pertama Piala FA, skuad The Rhinos kembali ke laman sendiri dengan semangat tinggi namun perlu mengekalkan fokus dan konsistensi.

"Dua perlawanan terakhir memang banyak bantu tingkatkan keyakinan pasukan tapi kita tak boleh cepat puas hati.

“Setiap perlawanan itu penting dan bila bermain di hadapan penyokong sendiri di Likas, kita kena kekal fokus dan main dengan penuh disiplin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabah FC bagaimanapun katanya berdepan sedikit cabaran dalam persiapan perlawanan apabila beberapa pemain utama masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

"Ada beberapa pemain yang belum cergas sepenuhnya. Tapi saya yakin siapa saja yang diberi peluang akan beri yang terbaik untuk pasukan. Semua pemain tahu apa yang perlu dibuat bila turun ke padang," katanya.

Mengulas mengenai lawan, Alto mengakui kehadiran ketua jurulatih baharu E Elavarasan telah membawa impak positif kepada TRW menjadikan mereka sebagai pencabar yang perlu diberi perhatian.

"Mereka bukan lawan yang mudah, baru menewaskan KL City FC 3-1 dalam Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV.

“Itu sudah cukup menunjukkan mereka sedang berada di landasan yang baik tetapi apabila kita bermain di tempat sendiri, sudah tentu kita mahu pastikan tiga mata kekal di Likas," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan