Oleh Vijian Paramasivam, Kenny Teng & Wilawan Watcharasakwet
PHNOM PENH, 22 Ogos (Bernama) -- Kemboja dan Thailand bersetuju menangani isu keselamatan utama bagi memperkukuh gencatan senjata dan mengekalkan keamanan di sempadan bersama, menerusi Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) Kemboja-Thailand di wilayah Sa Kaeo, Thailand pada Jumaat.
Delegasi Kemboja diketuai Komander Wilayah Tentera ke-5 Leftenan Jeneral Ek Sam Aun, manakala delegasi Thailand diketuai Komander Tentera Wilayah Pertama Leftenan Jeneral Amnat Boonsuya.
Menurut kenyataan Angkatan Tentera Diraja Kemboja, kedua-dua pihak berikrar menangani jenayah rentas sempadan termasuk penipuan dalam talian, pengedaran dadah, pemerdagangan manusia, penyeludupan senjata dan aktiviti pemindahan periuk api.
“Mesyuarat ini bertujuan memupuk perbincangan serta meningkatkan keyakinan untuk meredakan ketegangan, mengekalkan keamanan di sempadan dengan menggunakan semua mekanisme yang perlu dalam semangat kejiranan baik, persahabatan dan solidariti,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua negara turut bersetuju secara prinsip menubuhkan Kumpulan Penyelaras (CG) dan Jawatankuasa Sempadan Perbandaran (TBC) bagi melibatkan semua pihak berkepentingan dalam mengukuhkan keselamatan sempadan, dengan komander tempatan akan bermesyuarat setiap minggu sehingga badan itu diwujudkan.
Mesyuarat juga membincangkan isu halangan seperti kawat berduri, tayar dan sekatan lain bagi memastikan keselamatan penduduk yang kembali ke rumah mereka serta mengurangkan kesan terhadap kehidupan harian.
Kemboja dan Thailand turut mengesahkan komitmen melaksanakan gencatan senjata mengikut perjanjian 13 perkara, selain menekankan kepentingan komunikasi berterusan di semua peringkat untuk membina kepercayaan dan menggalakkan kejiranan yang baik.
Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dalam catatan di Facebook pada Jumaat mengalu-alukan hasil positif mesyuarat RBC.
Sementara itu, Amnat berkata mesyuarat bersetuju dengan tiga daripada empat cadangan baharu Thailand, termasuk pelucutan periuk api atas dasar kemanusiaan, tindakan bersama membanteras operasi penipuan, serta penubuhan mekanisme penyelarasan.
“Hasil ini mencerminkan tekad kukuh kedua-dua negara untuk bekerjasama mengekalkan keamanan dan ketenteraman di sempadan, sekali gus menyumbang kepada kestabilan serta kesejahteraan rakyat Thailand dan Kemboja,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat di Sa Kaeo.
Bagaimanapun, cadangan keempat Thailand berkaitan pelanggaran Memorandum Persefahaman (MoU 43) 2000, dianggap di luar bidang kuasa RBC, dengan Kemboja mencadangkan isu itu dibawa ke mekanisme lain khususnya Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC).
Media tempatan Thailand melaporkan Timbalan Menteri Pertahanan Jeneral Nattapon Nakpanich, yang kini memangku jawatan menteri pertahanan, menyifatkan mesyuarat RBC sebagai isyarat positif yang mencerminkan kesungguhan Kemboja pada tahap dasar untuk terlibat dalam dialog dua hala.
Kemboja dan Thailand sedang berusaha mewujudkan keamanan berkekalan di sepanjang sempadan sejauh 817 kilometer yang sering menjadi punca pertikaian, termasuk konfrontasi ketenteraan di sempadan Oddar Meanchey dan Preah Vihear pada 24 Julai lalu.
Kedua-dua kerajaan bersetuju meredakan keadaan yang turut dipantau rapat oleh Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, Amerika Syarikat dan China pada 24 Julai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial