KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Pameran Pengembaraan AirAsia (AATF) 2025 dijangka menarik kira-kira 15,000 pengunjung, iaitu meningkat 5,000 berbanding edisi prapandemik pada 2019, selaras dengan hasrat syarikat penerbangan itu mengembalikan siri pameran tersebut dengan rancangan menjadikan pameran tahun depan sebagai yang terbesar di Malaysia.
Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia Amanda Woo berkata syarikat penerbangan itu juga akan menganjurkan pameran pengembaraan di negara lain, termasuk Filipina, Vietnam, Indonesia, Kazakhstan dan Uzbekistan, bagi menyokong Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Woo berkata pada edisi tahun ini, yang berlangsung selama tiga hari bermula 22 hingga 24 Ogos di Pavilion Bukit Jalil, sebanyak 213 ruang pameran ditampilkan dan kira-kira 1,000 pakej pengembaraan ditawarkan oleh ejen terkemuka tempatan, dan penganjur yakin ia akan meningkatkan jualan berbanding acara sebelumnya, apabila tiket jualan harian mencecah sehingga 10,000.
“Apa yang kami (AirAsia) rancang untuk lakukan ialah menjemput semua syarikat penerbangan, hotel, dan rakan pelancongan lain untuk menyertai pameran pelancongan kami, dan hari ini syarikat penerbangan antarabangsa seperti Air Arabia dan Emirates sudah menyertai kami.
“Kami harap untuk menambah penyertaan tahun depan kerana kami menganggap kami sebagai syarikat pengembaraan dan bukan sekadar syarikat penerbangan,” katanya kepada wartawan selepas melancarkan AATF di sini hari ini.
Pameran pengembaraan itu merupakan platform kerjasama pengembaraan yang menyatukan pengembara, ejen pengembaraan, lembaga pelancongan dan rakan industri buat kali pertama di bawah satu bumbung.
Jika sebelum ini ia diadakan di beberapa bandar utama di Malaysia, pameran kali ini menunjukkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab pengembaraan utama yang semakin meningkat, menawarkan ketersambungan ke destinasi tempatan dan antarabangsa sambil menyokong sektor pelancongan Malaysia menjelang TMM 2026.
Woo turut menganggap pameran tahun ini sangat penting kerana ia memperkenalkan laluan baharu di luar Asia bersesuaian dengan TMM 2026.
Syarikat penerbangan tersebut berkata ia menyaksikan permintaan dalam negara yang semakin kukuh daripada Asia Tengah, terutama dari Kazakhstan, Uzbekistan dan Istanbul, dengan Malaysia semakin dilihat sebagai hab bagi pengembara untuk meneroka rantau Asia dengan lebih meluas.
Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy berkata pameran pengembaraan itu merupakan satu langkah yang diambil oleh AirAsia untuk terus mempromosikan pelancongan tempatan dan antarabangsa.
“Kami memang menyasarkan ketibaan 43 juta pelancong (pada 2025) dan setakat Jun 2025, kami telah menerima lebih 25 pelancong tempatan dan antarabangsa. Oleh itu, kami percaya inisiatif ini akan terus menggalakkan dan membantu Tourism Malaysia mencapai matlamatnya untuk menarik 43 juta pelancong ke Malaysia,” katanya.
Manoharan berkata destinasi yang ditawarkan dalam pameran ini merupakan sumber pasaran utama kepada Malaysia, dengan jumlah ketibaan pelancong yang tinggi dari ASEAN dan negara berpantai, serta peningkatan lebih 30 peratus dari China dan India sejak kerajaan memperkenalkan dasar bebas visa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial