SUKAN

Sabah Sekat Hajat KL City Raih Tiga Mata Di Cheras

14/08/2025 12:22 AM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Sabah FC menyekat hajat Kuala Lumpur City FC untuk meraih kemenangan kedua berturut-turut selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada perlawanan Liga Super 2025/2026 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras di sini, malam ini.

Pada pertembungan itu, Sabah terpaksa mengharungi separuh masa kedua dengan 10 pemain selepas pemain tengah Dean Pelekanos dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan dua minit sebelum rehat susulan terjahan berbahaya.

Peluang itu digunakan KL City untuk menekan Sabah sebelum berjaya berada di depan selepas bek sayap kanan Sabah Dane Ingham menjaringkan gol sendiri ketika cuba mengeluarkan bola hantaran lintang pemain pertahanan KL City Declan Lambert dari sebelah kiri pada minit ke-65.

Namun pasukan pelawat berjaya meranapkan misi KL City untuk mengutip tiga mata di hujung permainan selepas pemain gantian Gabriel Peres menanduk masuk bola sepakan percuma Stuart Wilkin pada masa tambahan separuh masa kedua.

KL City kini berada di kedudukan ketiga dengan berkongsi empat mata bersama Terengganu di posisi kedua dengan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) di puncak liga dengan enam mata.

Di MELAKA, Melaka FC berjaya mengutip satu mata dalam aksi pertama Liga Super musim ini apabila seri 1-1 menentang Penang FC di Stadium Hang Jebat, Krubong.

Penyerang import dari Brazil Juan Douglas Teles Da Silva muncul wira pasukan dari selatan itu selepas berjaya menjaringkan mata penyamaan pada minit ke-69 perlawanan.

Terdahulu, pasukan pelawat mendahului permainan apabila menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-28 selepas pemain tengah Penang Dylan Christopher Charles Wenzek Halls berjaya menundukkan penjaga gol tuan rumah, Badelic Gamba Florencio Jr pada minit ke-28 perlawanan.

Melaka kemudiannya cuba menyamakan kedudukan pada minit ke-36 perlawanan apabila pemain tengah Muhammad Nizarrudin Jazi membuat sepakan kencang dari luar kotak penalti namun terkena tiang gol sebelah kanan pasukan pelawat.

Sementara itu, Terengganu FC (TFC) turut sekadar berkongsi satu mata dengan PDRM FC selepas terikat 2-2 pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).

Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Doumbia Henri yang menyambar hantaran lintang pemain pertahanan Mohd Safiee Ahmad pada minit ke-12 sebelum mencetak jaringan peribadi keduanya pada minit ke-53.

TFC merapatkan jurang menerusi Muhammad Azam Azmi Murad pada minit ke-63 sebelum Yan Bella muncul penyelamat skuad Penyu apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-89 untuk mengikat kedudukan sehingga ke wisel penamat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan