PUTRAJAYA, 13 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memulakan Rundingan Awam selama dua minggu mengenai cadangan Kerangka Peraturan bagi Pesanan Elektronik Komersial Tidak Diingini (UCEM) atau lebih dikenali spam.
Menurut MCMC, inisiatif berkenaan selaras dengan Seksyen 233A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang diperkenalkan melalui pindaan perundangan yang diwartakan pada Februari tahun ini.
“Kerangka peraturan berkenaan bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna, menggalakkan amalan pemasaran digital lebih selamat dan dipercayai.
“Selaras dengan peruntukan baharu itu, MCMC sedang merangka perundangan subsidiari bagi mewujudkan struktur kawal selia yang jelas, utuh dan berkesan untuk menangani peningkatan penghantaran UCEM,” menurut kenyataan MCMC.
Menurut MCMC, Rundingan Awam itu mengundang maklum balas pelbagai pihak berkepentingan termasuk pemain industri, pertubuhan masyarakat sivil, kumpulan pengguna, pembuat dasar dan orang awam.
Justeru, MCMC menjemput semua pihak untuk meneliti dokumen rundingan dan mengemukakan pandangan terhadap pendekatan kawal selia yang dicadangkan sepanjang tempoh rundingan berlangsung pada 13 hingga 5 petang, 27 Ogos ini.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen MCMC terhadap proses pembentukan dasar yang telus, inklusif, konsultatif dan berasaskan bukti,” menurut kenyataan itu.
Untuk maklumat lanjut dan mengakses dokumen rundingan, boleh melayari https://www.mcmc.gov.my/en/media/announcements/public-consultation-on-unsolicited-commercial-ele.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial