KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Patriotisme tidak seharusnya difahami dalam konteks sambutan Hari Kebangsaan setiap 31 Ogos atau amalan kibar Jalur Gemilang semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam perspektif lebih luas seperti usaha membebaskan negara daripada kemiskinan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Pensyarah Kanan Komunikasi Liberal Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Abdul Aziz Azizam berkata selain kibaran Jalur Gemilang, patriotisme juga boleh dizahirkan melalui amalan harian lain seperti mengutamakan produk tempatan, menjaga kebersihan, menghormati agama dan kaum lain serta mematuhi undang-undang.
“Penghayatan patriotisme tidak memerlukan kos besar. Ia bermula daripada sikap, contohnya menjaga harta awam, menghargai hasil kerja anak tempatan, tidak membuang sampah merata-rata. Hal kecil seperti ini memberi impak besar kepada imej dan maruah negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk Hayati Kemerdekaan dan Pupuk Semangat Patriotisme, malam tadi.
Abdul Aziz turut mengingatkan seluruh rakyat Malaysia bahawa kemerdekaan adalah amanah yang memerlukan kesinambungan pengorbanan bukan sekadar warisan yang boleh diambil mudah.
“Kalau kita ambil mudah, apa yang dibina oleh generasi terdahulu, boleh hilang dalam sekelip mata. Kemerdekaan ini perlu dijaga, dipertahankan dan dimajukan. Kalau tidak, generasi akan datang akan salahkan kita kerana gagal mempertahankan apa-apa yang telah diberikan,” katanya.
Mengenai usaha menanam semangat patriotisme dalam kalangan anak muda, Abdul Aziz berkata ia memerlukan pendekatan bersesuaian dengan pengalaman hidup golongan berkaitan kerana kebanyakan mereka lahir dalam era serba tersedia hasil pengorbanan generasi terdahulu.
“Golongan muda mungkin sukar menghayati perjuangan kemerdekaan kerana mereka tidak melalui kesusahan seperti generasi lama. Justeru, tugas kita ialah membina sebuah negara yang layak mereka sayangi,” katanya.
Abdul Aziz turut mencadangkan supaya aspek pendidikan, khususnya subjek sejarah, perlu diberi penekanan lebih agresif dengan mengetengahkan sejarah pencapaian tokoh-tokoh tempatan dan bukannya terlalu tertumpu kepada kejayaan negara luar.
“Tidak ramai yang tahu mengenai Terusan Wan Mat Saman di Kedah yang dibina pada abad ke-19, atau penemuan Batu Bersurat di Terengganu sebagai bukti awal perkembangan Islam di rantau ini. Fakta sebegini memberi kesedaran bahawa negara kita memiliki warisan dan kehebatan tersendiri,” katanya.
Mengulas peranan media sosial dalam menyemarakkan Bulan Kebangsaan, beliau mengakui platform berkenaan mampu menyemarakkan semangat patriotisme jika digunakan secara bijak namun kandungan negatif yang tersebar tanpa tapisan boleh mengganggu perpaduan rakyat.
“Bulan Kebangsaan sepatutnya menjadi masa semua pihak termasuk ahli politik untuk mengurangkan perbalahan. Walaupun berbeza pandangan, kita kena ada titik temu demi negara. Jika terlalu terperangkap dengan sentimen perkauman atau politik kepartian, rasa cinta kepada negara akan pudar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial