AM

MALAYSIA GESA KETERANGKUMAN DIJADIKAN PIAWAIAN DALAM TADBIR URUS BANDAR ASEAN

13/08/2025 12:42 AM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Malaysia menggesa negara anggota ASEAN untuk menjadikan keterangkuman sebagai piawaian dalam tadbir urus bandar menerusi inisiatif baharu yang dilancarkan iaitu ASEAN Urban Women for Resilience and Transformative Sustainable Actions (AURORA).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata meskipun wanita mewakili separuh daripada 680 juta penduduk yang mendiami kawasan bandar di ASEAN, namun penglibatan mereka dalam peringkat pembuat keputusan masih terlalu rendah dan tidak sepadan dengan jumlah terbabit.

“Di sesetengah majlis tempatan ASEAN, wanita mengisi kurang daripada 20 peratus jumlah kerusi. Ketidakseimbangan ini memberi kesan terhadap cara bandar menangani isu seperti keselamatan di tempat awam, akses kepada penjagaan kanak-kanak serta reka bentuk sistem pengangkutan yang memenuhi keperluan keluarga dan warga emas.

“AURORA menangani isu ini dengan memupuk budaya kepimpinan yang lebih terangkum dan responsif. Ia menghimpunkan bandar di seluruh ASEAN bagi memperkukuh penyertaan wanita dalam tadbir urus, di samping menambah baik kualiti dasar dan perkhidmatan bandar untuk semua penduduk,” katanya.

Dr Zaliha berkata demikian ketika berucap pada forum A Women-Led City Initiative in ASEAN AURORA: ASEAN Urban Women for Resilience and Transformative Sustainable Actions yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata bandar yang dipimpin dengan penyertaan aktif wanita cenderung mengamalkan dasar yang lebih responsif terhadap keperluan penduduk seperti keselamatan komuniti, kesejahteraan sosial dan pembangunan ekonomi.

Beliau berkata pengalaman Malaysia dalam pelaksanaan perancangan responsif gender di lebih 83 pihak berkuasa tempatan telah berjaya meningkatkan keselamatan di kawasan awam, meningkatkan akses pengangkutan serta memastikan infrastruktur memenuhi keperluan semua rakyat, berpandukan maklum balas daripada wanita, warga emas, golongan kurang upaya dan penjaga.

Menerusi inisiatif AURORA, bandar-bandar negara anggota ASEAN digalakkan untuk mengguna pakai rangka kerja sukarela yang merangkumi penetapan sasaran bagi penyertaan wanita dalam peranan kepimpinan, menjalankan penilaian keselamatan secara berkala di ruang awam, serta memperbaiki akses kepada pengangkutan awam.

Dr Zaliha berkata langkah sedemikian akan membantu bandar memantau kemajuan, belajar antara satu sama lain dan meningkatkan tahap tadbir urus di seluruh rantau.

Beliau berkata Malaysia bertekad untuk bekerjasama dengan negara anggota ASEAN dalam berkongsi amalan terbaik, memperkukuh keupayaan kepimpinan dan memastikan keterangkuman menjadi elemen kekal dalam tadbir urus bandar.

-- BERNAMA

 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan