DUNIA

Bekas Presiden Brazil Jair Bolsonaro Dimasukkan Ke Hospital

17/09/2025 05:49 PM

BOGOTA (Colombia), 17 Sept (Bernama-Anadolu) -- Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro dimasukkan ke hospital di ibu negara Brasilia pada Selasa selepas dilaporkan mengalami masalah kesihatan, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik kenyataan anaknya, Senator Flavio Bolsonaro.

Menurut Flavio, ayahnya mengalami “sedu yang kuat, muntah serta tekanan darah rendah.”

Beliau mengesahkan Bolsonaro dibawa ke hospital dari kediamannya di ibu kota dengan kawalan pengawal penjara.

“Saya mohon doa semua agar ia tidak serius,” katanya.

Perintah tahanan rumah yang dikeluarkan Hakim Mahkamah Agung Persekutuan, Alexandre de Moraes, membenarkan Bolsonaro mendapatkan rawatan kecemasan, namun perlu mengemukakan bukti perubatan dalam tempoh 24 jam.

Ini merupakan kali kedua bekas presiden itu dimasukkan ke hospital minggu ini, selepas menerima rawatan Ahad lalu untuk masalah lesi di kulitnya.

Laporan hospital menyebut prosedur pembedahan kecil dijalankan menggunakan bius bagi membuang lapan lesi pada bahagian dada dan lengan kanannya.

Ujian makmal baru-baru ini juga menunjukkan beliau mengalami anemia, manakala imbasan CT mendedahkan “tanda-tanda sisa radang paru-paru baru-baru ini.”

Mahkamah Agung pada Khamis lalu menjatuhkan hukuman penjara 27 tahun tiga bulan terhadap beliau kerana didakwa terlibat dalam plot rampasan kuasa.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan