PUTRAJAYA, 10 Sept (Bernama) -- Kerajaan menguatkuasakan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2) 2023, Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2023 dan Akta Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia (World Suicide Prevention Day) 2025 hari ini.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi kenyataan bersama hari ini memaklumkan ia adalah sebagai pelengkap kepada usaha menyahjenayah kesalahan cubaan bunuh diri di Malaysia.
“BHEUU JPM ingin menegaskan bahawa kesalahan bagi persubahatan bunuh diri (abetment of suicide) masih dikekalkan dan kesalahan persubahatan percubaan membunuh diri (abetment of attempted suicide) diperkenalkan di bawah Seksyen 306 Kanun Keseksaan (Akta 574).
“Ia seterusnya dibezakan berdasarkan kategori orang yang dihasut untuk melakukan tindakan-tindakan yang berkaitan (abetment of suicide or attempted suicide of child or person who lacks mental capacity) di bawah Seksyen 305 Akta 574,” menurut kenyataan itu.
Untuk rekod, pada 2023, Kerajaan MADANI telah membentangkan tiga rang undang-undang (RUU) di Parlimen, yang diluluskan pada tahun sama, iaitu RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2) 2023, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2023 dan RUU Kesihatan Mental (Pindaan) 2023, yang bertujuan menyahjenayah kesalahan cubaan bunuh diri (decriminalisation of attempted suicide) di Malaysia.
RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2) 2023 memansuhkan Seksyen 309 Akta 574 yang memperuntukkan bahawa seorang yang cuba membunuh diri boleh didakwa di mahkamah dan sekiranya didapati bersalah, boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga satu tahun pemenjaraan atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, sebagai langkah susulan RUU Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 memperkenalkan Pegawai Intervensi Krisis (PIK), yang terdiri daripada pegawai Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Menerusi pindaan ini, PIK diberikan kuasa yang sewajarnya untuk bertindak di bawah Seksyen 11 Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615) apabila berlakunya sesuatu cubaan untuk membunuh diri. Kuasa ini antara lain bertujuan membawa seorang yang telah cuba membunuh diri ke hospital psikiatri untuk pemeriksaan mengikut peruntukan di bawah akta itu,” katanya.
Menurut BHEUU dan KKM, dari sudut pelaksanaan, PIK boleh membawa individu ke Jabatan Kecemasan hospital kerajaan terdekat yang telah diwartakan untuk tujuan penilaian dan rawatan awal.
Dalam hal ini, KKM juga dalam peringkat akhir mewartakan hampir semua hospital di bawahnya serta dua hospital universiti sebagai hospital psikiatri kerajaan, yang melibatkan 145 hospital yang boleh menerima rujukan PIK termasuk bagi kes di kawasan pedalaman, menurut kenyataan itu.
“Latihan khusus berkenaan pengurusan individu tersebut oleh PIK juga akan dimulakan dalam masa terdekat bagi memastikan pelaksanaan yang seragam di seluruh negara.
“Reformasi undang-undang ini akan menjadi anjakan besar dalam usaha mencegah cubaan bunuh diri di Malaysia dengan menggalakkan mereka yang terkesan daripada kesihatan mental untuk tampil ke hadapan bagi mendapatkan bantuan, menghapuskan stigma terhadap cubaan bunuh diri dan seterusnya menurunkan kadar kematian akibat membunuh diri,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial