Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen
JOHOR BAHRU, 17 Sept (Bernama) -- Tidak ramai menyedari bandar raya Johor Bahru menawarkan sisi unik kepada pengunjung daripada warisan budaya, kepelbagaian kulinari hingga aktiviti santai sesuai untuk semua peringkat usia.
Antara tarikan baharu semakin mendapat perhatian ialah menyusuri perairan Selat Johor dengan menaiki bot persiaran yang membolehkan penumpang menikmati keindahan cahaya lampu neon menghiasi bandar raya dan panorama sempadan Singapura dari kejauhan.
Lebih menarik, pelayaran dikenali “Sinaran Cruises” turut melalui bawah jambatan Sistem Transit Rapid (RTS Link) Johor Bahru–Singapura dengan pembinaannya sedang rancak dilaksanakan.
Bagi sekumpulan rakan dari Selangor yang bercuti tiga hari dua malam di sini, pengalaman menaiki bot persiaran buat kali pertama itu meninggalkan kenangan istimewa.
“Bersiar-siar sekeliling bandar Johor Bahru menaiki kereta sudah biasa, tetapi (menggunakan) bot persiaran memang memberikan pengalaman berbeza,” kata Israk Aziz, 24.
Seorang lagi pengunjung Badrul Hisyam Zahari, 30, mengakui teruja dengan tarikan baharu itu.
“Bagi saya berbaloi kerana pemandangan cantik (dan) boleh nampak sempadan Singapura. Sebenarnya, Johor Bahru banyak tarikan dan aktiviti tidak diketahui,” katanya.
Pemilik dan Pengarah Urusan Sinaran Cruises KP. Shan berkata sambutan pengunjung sangat menggalakkan bukan sahaja dalam kalangan warga tempatan tetapi juga mereka dari Singapura dan Indonesia.
Beliau berkata operasi di Johor Bahru bermula sebulan lepas dari Jeti Senibong Cove Marina manakala operasi di Jeti Puteri Harbour, Iskandar Puteri sudah lebih setahun.
“Bagi pelayaran di Johor Bahru, pengunjung berpeluang melihat panorama unik apabila bot persiaran melalui bawah jambatan RTS Link. Di Iskandar Puteri, pemandangan sekitar Selat Johor termasuk Kampung Tebing Runtuh menjadi tarikan,” katanya.
Shan berkata terdapat dua bot persiaran dengan kapasiti lapan dan 10 orang untuk tempoh pelayaran selama 45 minit dengan waktu operasi bermula dari 3 petang hingga 10 malam.
“Sambutan sangat menggalakkan, secara keseluruhan antara lapan hingga sembilan trip setiap hari di dua lokasi itu,” katanya.
Shan berkata kadar serendah RM40 dikenakan untuk dewasa, RM20 untuk warga emas dan kanak-kanak empat hingga 12 tahun serta potongan 50 peratus untuk Orang Kurang Upaya (OKU) manakala kadar bagi pelayaran privasi selama sejam ialah RM350 dan RM390.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial