DUNIA

Rakyat Malaysia Ke Eropah Melalui India Tertakluk Kepada Saringan Tambahan

16/09/2025 08:25 PM

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Rakyat Malaysia yang melancong ke Eropah melalui India akan dikenakan saringan tambahan oleh pihak berkuasa sempadan Eropah sebelum menaiki penerbangan sambung.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan perkara itu susulan penguatkuasaan peraturan lebih ketat oleh pihak berkuasa Eropah berhubung Prosedur Pemprofilan Penumpang bagi penumpang transit.

Jumlah rakyat Malaysia yang memohon bantuan konsul untuk pulang ke tanah air akibat kegagalan mematuhi prosedur berkenaan dilaporkan semakin meningkat.

Sehubungan itu, semua pengembara dinasihatkan memastikan dokumen perjalanan, termasuk pasport, visa dan tiket penerbangan pulang adalah sah serta lengkap.

Pengembara juga perlu bersedia mengemukakan dokumen sokongan seperti bukti tempahan penginapan, jadual perjalanan, dan bukti dana yang mencukupi.

“Semak dengan syarikat penerbangan berkaitan atau pejabat perwakilan Eropah di Malaysia mengenai syarat terkini sebelum berlepas, dan peruntukkan masa mencukupi bagi pemeriksaan semasa transit di India,” menurut kenyataan itu.

Suruhanjaya Tinggi menegaskan rakyat Malaysia perlu memberi perhatian terhadap nasihat perjalanan ini bagi mengelak kesulitan dan kerugian kewangan yang tidak sepatutnya.

Untuk bantuan konsul, rakyat Malaysia boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi berkenaan.

Kenyataan penuh boleh dibaca di https://web.facebook.com/malawakil.newdelhi.5

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan