DUNIA

Malaysia Akan Tegaskan Pendirian Dalam Isu Gaza Kepada Trump Pada Sidang Kemuncak ASEAN Oktober Ini - PM

16/09/2025 12:56 AM

Daripada Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

DOHA, 15 Sept (Bernama) -- Malaysia akan menggunakan kesempatan ketika mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini untuk menegaskan pendirian negara dalam isu Gaza dan serangan Israel ke atas Qatar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia komited untuk membawa suara solidariti Palestin di platform serantau itu bagi menarik perhatian pemimpin kuasa besar dunia.

“Pada pertemuan dengan Presiden Trump, kita akan gunakan kesempatan itu untuk mengajak beliau memahami sikap dan pendirian tegas Malaysia dalam usaha mencapai keadilan, termasuk bagi Gaza dan Palestin,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam sidang akhbar bersama media Malaysia ketika Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di sini pada Isnin.

Perdana Menteri menyertai sidang kemuncak luar biasa itu atas undangan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani sebagai respons segera terhadap keganasan rejim zionis Israel yang menyerang Doha pada 9 Sept lepas.

Beliau berkata sokongan Malaysia terhadap sidang kemuncak itu membuktikan kemuafakatan negara Islam dan Arab dalam melontarkan kecaman keras tindakan Israel selain menyatakan solidariti penuh kepada Qatar.

Terdahulu, ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada sidang kemuncak berkenaan, Perdana Menteri mendesak tindakan punitif tegas perlu dikenakan terhadap Israel yang tidak berhenti menzalimi rakyat Palestin, selain secara berterusan melanggar undang-undang antarabangsa dengan menyerang banyak negara.

Mengulas lanjut, Anwar juga menegaskan dunia khususnya negara-negara Arab perlu menghentikan segala hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel.

Beliau berkata meskipun banyak negara bangkit menyatakan pendirian dengan tegas, namun gesaan dan kenyataan semata-mata tidak memadai sebaliknya perlu disusuli dengan tindakan tegas.

“Pertama, memutuskan segala hubungan diplomatik sebagaimana telah bermula dalam kalangan beberapa negara Arab dan kedua, menghentikan semua urusan perdagangan dengan Israel. 

“Ketiga, menggunakan segala kebijaksanaan diplomatik kita, khususnya dengan negara-negara yang dekat dengan AS, supaya mengambil keputusan selari dengan undang-undang antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta kehendak kemanusiaan sejagat,” kata beliau.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa isu yang dibawa pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam kali ini bukan lagi semata-mata mengenai Gaza dan Palestin bahkan turut membabitkan beberapa negara lain yang menjadi sasaran Israel.

“Pertamanya, soal Gaza dan Palestin yang terus-menerus dibantai secara luar biasa. Kedua, ia melibatkan banyak negara seperti Qatar, Syria, Iraq, Iran, Lebanon.

“Ini menunjukkan bahawa dalam dunia hari ini, belum pernah ada sejarah sedemikian rakus dan biadab dilakukan,” kata Perdana Menteri.

Delegasi Anwar disertai Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan serta pegawai kanan Kementerian Luar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan