Daripada Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
DOHA, 15 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendesak tindakan hukuman tegas dikenakan terhadap Israel, sambil mengecam sekeras-kerasnya serangan udara terbaharu rejim itu ke atas Doha, ibu negara Qatar, serta pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza.
Anwar menegaskan perlunya langkah tegas dan muktamad diambil, dengan menyatakan kecaman semata-mata tidak akan mampu menghentikan bedilan peluru berpandu dan kenyataan demi kenyataan tidak akan membebaskan Palestin.
“Tindakan punitif yang tegas mesti dilaksanakan. Segala bentuk hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel perlu dihentikan,” katanya tegas ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam yang berlangsung di ibu negara Qatar, malam ini.
Perdana Menteri menyifatkan pengeboman secara membuta tuli ke atas ibu negara sebuah negara berdaulat itu sebagai tidak berperikemanusiaan, kejam dan tidak dapat dipertahankan, sambil menegaskan ia merupakan satu pencerobohan terhadap kedaulatan Qatar, pelanggaran undang-undang antarabangsa serta tindakan provokatif melampau yang mengancam keselamatan rantau ini.
Anwar berkata tahap kebiadaban ini lebih membimbangkan kerana Qatar selama ini memainkan peranan penting sebagai perantara damai di rantau berkenaan di bawah pimpinan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani yang sentiasa berusaha gigih dan penuh kebijaksanaan memupuk dialog serta perdamaian.
“Untuk menyerang Qatar adalah perbuatan mensabotaj secara terang-terangan segala usaha ke arah keamanan. Serangan ini mesti dianggap sebagai serangan terhadap kita semua,” katanya.
Anwar menegaskan serangan Israel itu adalah tindakan pencerobohan terancang yang menunjukkan tiada negara akan dikecualikan dalam usaha rejim Zionis mencapai agenda mereka.
Beliau turut menzahirkan rasa kesal terhadap penderitaan berterusan di Gaza, dengan keluarga yang musnah, hospital dibedil sehingga tinggal runtuhan, dan kanak-kanak tertimbus di bawah serpihan bangunan.
“Di Tebing Barat, dasar penjajahan dan perampasan tanah diteruskan tanpa henti. Kebiadaban ini turut merebak dengan serangan dan pengeboman di Lubnan, Syria, Yemen dan Iraq, malah turut menyasarkan Iran.
“Corak tindakan yang melampaui undang-undang ini jelas menunjukkan penghinaan terhadap asas ketamadunan dan peraturan antarabangsa,” katanya.
Anwar berkata Israel secara terbuka mengisytiharkan Palestin tidak akan pernah diiktiraf sebagai sebuah negara, tindakan yang disifatkannya sebagai pengisytiharan dasar aparteid kekal dan penolakan terhadap semua resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin.
Dalam ucapannya kepada para pemimpin, Anwar menekankan bahawa negara-negara yang mempunyai hubungan istimewa dengan Amerika Syarikat turut memikul tanggungjawab besar dalam menangani krisis ini.
“Ketika Amerika mahu berdialog dengan Iran, Israel membalasnya dengan bom. Ketika Washington menggalakkan usaha perantaraan dengan Hamas, Israel menyerang di Doha,” katanya.
Perdana Menteri turut menarik perhatian terhadap sebuah flotila yang kini sedang belayar menuju Gaza membawa bantuan kemanusiaan dan bukannya senjata.
“Ini adalah misi kemanusiaan dan kita mesti melakukan segala usaha bagi memastikan ia sampai ke Gaza. Membiarkannya dihalang dengan kekerasan adalah satu pengkhianatan terhadap amanah hati nurani kita… untuk mempertahan yang lemah, melindungi yang tertindas dan memberi makan kepada yang kelaparan,” katanya.
Anwar menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa itu atas jemputan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, susulan perkembangan terkini melibatkan serangan Israel ke atas negara berkenaan.
Beliau diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan; serta pegawai kanan Kementerian Luar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial