AM

Galeri Labuan Warisan Tarik Perhatian Pelancong Asing

15/09/2025 05:20 PM

LABUAN, 15 Sept (Bernama) -- Galeri Labuan Warisan (LAWA) kini semakin mendapat perhatian apabila pelancong asing mula membanjiri ruang pamerannya untuk menghayati dan menghargai warisan budaya.

Galeri berkenaan yang dirasmikan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pada Julai lepas mempamerkan kraf tangan tempatan asli, cenderamata, hiasan rumah, aksesori peribadi, fesyen dan tekstil serta batik buatan tangan.

Sekumpulan 12 pelancong dari China antara yang terbaharu mengunjungi galeri itu dan berpeluang melihat keunikan produk kraf tangan.

Ketua Majlis Perniagaan (Pelancongan) Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur (BIMP-EAGA) Jerry Teo berkata lawatan mereka mencerminkan daya tarikan LAWA yang semakin berkembang sebagai hab budaya yang menghubungkan pelancong antarabangsa dengan warisan kreatif pulau terbabit.

“Pelancong berpeluang menghayati kreativiti budaya Labuan, daripada kraf kulit siput yang rumit buatannya dan hiasan berasaskan daun, sehingga kepada teknik pencelupan tekstil dan anyaman rotan yang dipamerkan dengan penuh seni,” katanya.

Beliau berkata LAWA turut memperlihatkan demonstrasi secara langsung dengan penggiat kraf menerangkan dan menunjukkan proses penghasilan kraf yang unik, manakala pelancong juga berpeluang mencuba sendiri aktiviti menganyam dan menggubah bunga.

Teo berkata antara barangan yang paling popular dibeli ialah minyak kelapa dara, beg tangan rotan mesra alam, beg anyaman moden serta rantai dan aksesori unik Manik Vinusak yang unik dengan corak reka bentuk warisan masyarakat peribumi.

Beliau berkata bagi kebanyakan pelancong, pengalaman berkenaan bukan sekadar aktiviti membeli-belah, tetapi juga satu penghayatan budaya yang membolehkan mereka membawa pulang kenangan bermakna dari Labuan sambil menyokong usahawan tempatan.

“Dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap pengalaman budaya asli, pameran seumpama ini oleh LAWA mampu memainkan peranan yang lebih besar dalam menarik kehadiran pelancong dari pasaran utama seperti China, yang kini semakin cenderung memilih aktiviti pelancongan yang memberi pengalaman menyeluruh,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan