AM

JPJ Buka Bidaan Nombor Pendaftaran 'GM' Sempena Hari Malaysia

15/09/2025 04:24 PM

PUTRAJAYA, 15 Sept (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka bidaan bagi nombor pendaftaran istimewa (NPI) dengan tanda indeks ‘GM’ sempena sambutan Hari Malaysia 2025.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata bidaan bagi siri NPI itu akan dibuka mulai esok hingga 10 malam Sabtu, melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) dan keputusan akan dikeluarkan pada Ahad.

“Tanda Indeks NPI siri ‘GM’ ini dipilih dengan membawa maksud 'Gemilang Malaysia' bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan cintakan negara dalam bulan kemerdekaan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata harga bidaan adalah mengikut harga minimum ditetapkan iaitu bermula RM20,000 bagi nombor bernilai utama, nombor premium (RM5,000), nombor menarik (RM2,500), nombor popular (RM500) dan nombor biasa (RM300).

“Mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan,” katanya.

Aedy Fadly turut berkata pembida yang berjaya juga akan ditawarkan dua keping tiket Festival Super GT Malaysia 2026, yang boleh ditebus melalui alamat e-mel gm@supergtmalaysia.com.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan