AM

Pemenang Puskas FIFA ‘Beraksi’ Di Pentas Hari Malaysia, Pimpin Bacaan Rukun Negara

15/09/2025 04:30 PM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif

BUTTERWORTH, 15 Sept (Bernama) -- Pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016 Mohd Faiz Subri, bakal mencipta satu lagi detik bersejarah dalam hidupnya apabila diberi penghormatan memimpin bacaan ikrar Rukun Negara pada sambutan Hari Malaysia 2025.

Bekas pemain bola sepak Penang FC itu mengakui, walaupun pernah menjulang nama negara di persada dunia, tanggungjawab kali ini membawa cabaran berbeza kerana beliau bakal melaungkan ikrar berkenaan di hadapan barisan pemimpin tertinggi negara.

Beliau menyifatkan penghormatan itu sebagai kebanggaan besar buat dirinya, meskipun mengakui debarannya.

“Rasa gemuruh itu memang tidak dapat digambarkan, tetapi apa pun yang berlaku saya akan lakukan yang terbaik ketika melaungkan ikrar nanti,” katanya ketika ditemui Bernama di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth.

Bintang bola sepak berusia 38 tahun itu berkata, pengalaman menggalas tanggungjawab memimpin ikrar Rukun Negara jauh lebih mencabar berbanding beraksi di atas padang kerana ia membawa simbolik penyatuan rakyat pada majlis penuh bermakna itu.

“Boleh dikatakan memimpin bacaan ikrar ini adalah cabaran baharu untuk saya kerana baca ikrar di depan orang-orang ternama tidak sama dengan berada di atas padang. Debaran itu memang sangat berbeza,” katanya.

Bagi memastikan kelancaran ketika laungan ikrar, Mohd Faiz merancang menenangkan diri dan melapangkan fikiran sebelum naik ke pentas agar dapat memberi sepenuh tumpuan sepanjang bacaan berlangsung.

Sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis popular tanah air pelbagai kaum termasuk Ratu Rock negara Ella bersama Suki Low, Roshini Balachandran, selain artis dari Sabah dan Sarawak iaitu Dabra Sia dan Rezza Shah.

Edisi kali ini diadakan di Pulau Pinang, selaras dengan amalan penggiliran lokasi sambutan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan