JERTIH, 13 Sept (Bernama) -- Kehilangan 15 rakan kampus akibat kemalangan ngeri pada 9 Jun lepas, tidak mematahkan semangat pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nor Erika Elysha Mohd Zaidi untuk bangkit meneruskan kehidupan serta mengejar cita-cita sebagai pendidik.
Pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam) berusia 21 tahun itu berkata walaupun kehidupannya berubah selepas tragedi tersebut namun dia tetap berazam untuk berdikari dan membuktikan bahawa kecederaan yang dialami bukan penghalang untuk terus berjaya.
Menurutnya, dia berusaha untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baru termasuk mengikuti pengajian secara dalam talian.
"Saya masih dalam proses pemulihan dan membiasakan diri untuk mengikuti pengajian secara dalam talian. Pada awalnya memang sukar namun saya tidak mahu terus hanyut dengan kesedihan dan ingin membuktikan saya mampu berjaya walaupun berdepan kekurangan," katanya.
Pelajar tersebut berkata demikian kepada pemberita di kediamannya di Kampung Alor Belanga, di sini hari ini.
Terdahulu, Nor Erika Elysha diziarahi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang meluangkan masa selama 30 minit menyantuni pelajar itu dan ahli keluarganya serta menyampaikan sumbangan kewangan.
Nor Erika Elysha berkata dia turut mendapat sokongan emosi daripada ahli keluarga dan rakan-rakan selain menjalani fisioterapi setiap bulan bagi memulihkan kecederaan yang dialaminya.
Enggan terlalu memikirkan kejadian duka itu, gadis itu kini hanya ingin menumpukan perhatian pada pengajiannya demi bergelar seorang guru bidang Pendidikan Islam.
Sementara itu, ibu kepada remaja itu Noor Zailizan Zakaria, 41, berkata dia sekeluarga sentiasa berusaha memberikan sokongan moral agar anaknya itu tidak berputus asa, meskipun sering dilanda kesedihan akibat kecederaan dialami serta kehilangan rakan-rakannya.
“Kami sentiasa berada di sisinya memberi kata-kata semangat dan doa agar dia terus kuat. Kami mahu dia percaya bahawa kehilangan dan kecederaan ini bukan penghalang untuk mencapai cita-cita dan yakin dengan semangatnya bahawa dia mampu berjaya atasi segala kesedihan dialami,” katanya.
Dalam kejadian awal pagi 9 Jun, 15 penuntut UPSI maut apabila bas disewa khas dari Jertih untuk pulang ke kampus utama universiti itu di Tanjung Malim, Perak terbalik dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial