AM

MBI Sumbang Komputer Riba, Dongel Dan Data Internet Kepada 100 Pelajar IPT

12/09/2025 04:49 PM

SHAH ALAM, 12 Sept (Bernama) -- Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI hari ini menyerahkan komputer riba kepada 100 pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam kalangan anak Selangor daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan siri pertama bagi 2025 itu bertujuan memudahkan proses pembelajaran golongan berkenaan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM150,000.

Beliau berkata selain komputer riba, setiap penerima turut diberikan satu unit dongel dan kad modul pengenalan pelanggan (SIM) dengan kapasiti 30GB data percuma setiap bulan selama setahun.

“Sumbangan menerusi Program Data Internet Selangor (DIS) yang turut dikendalikan MBI ini melibatkan peruntukan RM500,000 membabitkan 3,000 mahasiswa.

“Semoga semua penerima dapat memanfaatkan bantuan ini sepenuhnya dalam melaksanakan tugasan akademik masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan di Ibu Pejabat MBI di sini hari ini.

Menurut Ahmad Azri, pemberian tahun ini difokuskan kepada pelajar IPT selepas bantuan serupa sebelum ini disalurkan kepada ketua kampung, nelayan dan kumpulan sasar lain.

“Kita berharap inisiatif ini bukan sahaja mengupayakan pembelajaran pelajar, tetapi juga dapat menyumbang kepada peningkatan mutu pendidikan negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan