KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Kesalinghubungan merupakan pemacu utama masa depan ASEAN yang bakal membolehkan rantau ini muncul sebagai ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2045, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.
Mohamad berkata demikian dalam ucapan khas beliau pada Simposium Kesalinghubungan ASEAN yang berlangsung di sini pada Jumaat, menurut kenyataan Kementerian Luar.
Beliau menekankan bahawa kesalinghubungan sebenar melangkaui infrastruktur fizikal, merangkumi rangkaian digital dan kerangka peraturan, justeru menyeru pendekatan holistik dalam integrasi dengan memperkukuh penyelarasan institusi merentas pelbagai tonggak Komuniti ASEAN.
Mohamad turut menekankan kepentingan kesalinghubungan rakyat dengan rakyat, yang disifatkan sebagai “jiwa dan nadi” Komuniti ASEAN dalam membina jambatan persefahaman, mengukuhkan jati diri serantau serta membentuk komuniti berteraskan kepercayaan, empati dan matlamat bersama.
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menganjurkan simposium bertemakan “Mempercepat Kesalinghubungan Inklusif dan Mampan: Mensinergikan Sektor untuk Masa Depan yang Saksama”.
Seramai 124 peserta yang terdiri daripada wakil Negara Anggota ASEAN, Rakan Dialog dan Rakan Luar, selain pihak berkepentingan daripada sektor swasta serta akademia menyertai simposium ini bagi membincangkan hala tuju masa depan kesalinghubungan serantau.
Simposium ini menampilkan tiga sesi utama iaitu: “Rancangan Strategik Kesalinghubungan ASEAN 2026-2035: Memacu Masa Depan Serantau yang Inklusif dan Mampan”, “Infrastruktur Mampan untuk ASEAN yang Berdaya Tahan”, dan “Kesalinghubungan Digital untuk Komuniti Ekonomi ASEAN yang Inklusif”.
Acara tahun ini menjadi platform tepat pada masanya untuk menilai kemajuan Rancangan Induk Kesalinghubungan ASEAN (MPAC) 2025 serta mengumpul input bernilai bagi pelaksanaan Rancangan Strategik Kesalinghubungan ASEAN (ACSP) 2026-2035.
Kementerian itu berkata simposium berfokus kepada memastikan penyampaian utama kesalinghubungan, khususnya memperkasa kesalinghubungan digital dan membangunkan grid kuasa serantau yang lebih bersepadu, bersifat inklusif, mudah diakses serta menyokong inovasi tempatan.
Antara tumpuan utama adalah menangani halangan yang dihadapi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), termasuk akses terhad kepada infrastruktur digital mampu milik dan isu keselamatan tenaga.
Perbincangan juga dirangka berdasarkan matlamat strategik ACSP seperti infrastruktur mampan dan inovasi digital, di samping mengambil kira tren utama termasuk perubahan iklim, pengaturan semula rantaian bekalan serta peluasan bandar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial