KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Presiden Timor-Leste Dr Jose Ramos-Horta menegaskan komitmen negaranya untuk terus memperkukuh hubungan dengan Malaysia, sambil menyatakan kedua-dua negara kini bergerak ke arah pembentukan kerangka strategik menyeluruh berasaskan sejarah panjang sokongan serta kerjasama erat.
Presiden itu berkata beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan di Kuala Lumpur baru-baru ini telah bersetuju untuk memajukan hubungan dua hala dengan membangunkan kerangka menyeluruh berteraskan sokongan lama Malaysia kepada Timor-Leste, bermula daripada peranan pentingnya ketika Konsultasi Popular 1999 hingga kerjasama berterusan dalam bidang pertahanan, kesihatan dan pendidikan.
Ramos-Horta menyatakan perkara itu dalam ucapannya pada majlis resepsi sempena sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia ke-68 dan Hari Malaysia ke-62 di Dili minggu lalu.
Ucapan itu turut dikongsikan di laman rasmi Facebook Pejabat Presiden Timor-Leste.
Acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Dili (CCD) itu dianjurkan oleh Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste Datuk Amarjit Sarjit Singh bersama isterinya Datin Param Git Kaur Pauja Singh.
Dalam ucapannya, presiden memuji Malaysia sebagai sebuah negara makmur, adil dan bertoleransi. Beliau turut menekankan tema sambutan tahun ini, “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, sebagai cerminan nilai yang membimbing masyarakat Malaysia, selain mengiktiraf pertumbuhan serta kestabilan ekonomi negara ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Duta Besar Amarjit Singh atas sumbangan beliau memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam menyelesaikan isu tanah yang berlarutan bagi pembinaan kedutaan baharu Malaysia di Dili.
Ramos-Horta juga menyifatkan pelancaran laluan terus Batik Air antara Kuala Lumpur dan Dili sebagai “penanda aras bersejarah” yang meningkatkan kesalinghubungan, sambil menekankan peranan penting Malaysia dalam menyokong penyertaan penuh Timor-Leste ke dalam ASEAN, dengan kemasukan rasmi dijangka dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur pada Oktober.
Memandang ke hadapan, beliau menegaskan peluang kerjasama dalam projek strategik seperti Projek Tasi Mane dan Telaga Gas Greater Sunrise, termasuk kemungkinan kerjasama dengan PETRONAS Malaysia.
Sementara itu, Kedutaan Malaysia di Dili dalam kenyataannya berkata majlis sambutan itu turut dihadiri beberapa anggota Kerajaan Perlembagaan ke-9, ketua misi diplomatik ASEAN dan negara lain, pegawai kanan kerajaan, wakil agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta organisasi antarabangsa, ahli akademik, sektor swasta, diaspora Malaysia dan Rakan Malaysia, termasuk alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) serta universiti Malaysia.
Menurut kedutaan, para tetamu turut dihidangkan dengan pelbagai juadah Malaysia bagi meraikan sambutan berganda ini yang menandakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 Sept.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial