JENAYAH & MAHKAMAH

Inkues Zara Qairina: Tidak Dengar Bunyi Kuat, Pelajar Bergaduh Pada Malam Kejadian - Saksi

12/09/2025 07:35 PM

KOTA KINABALU, 12 Sept (Bernama) -- Seorang saksi hari ini memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa tidak ada sebarang pergaduhan berlaku antara pelajar di asrama perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, pada malam kejadian kes Zara Qairina Mahathir.

Pengawal keselamatan Linah Mansoding @ Jaliha, 65, berkata dia juga tidak mendengar apa-apa bunyi kuat sepanjang bertugas pada malam kejadian, iaitu Zara Qairina kemudian ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai lepas.

Linah, ibu kepada empat anak berkata demikian ketika disoal peguam Joan Goh, yang mewakili seorang remaja didakwa membuli si mati, pada hari ketujuh prosiding inkues.

“Saya tidak dengar apa-apa bunyi kuat. Saya tidak dengar budak-budak bergaduh sebab bilik mereka semua sudah gelap. Saya tidak pernah dengar kes pukul dalam kalangan pelajar asrama itu. Mereka cuma main-main sahaja. Tiada kes pukul, macam cakap-cakap sahaja… macam kau bodohlah,” kata saksi keenam itu.

Bagaimanapun, Linah yang bertugas di sekolah itu sejak 2012 berkata dia pernah mendengar kes kecurian membabitkan pelajar asrama terbabit dan perkara berkenaan akan diserahkan kepada guru atau kepada pengawal keselamatan. 

“Tetapi, saya tidak tahu sekiranya ada pelajar yang dikenakan tindakan disiplin berhubung kes curi... seingat saya macam tiada,” katanya.

Linah juga memberitahu mahkamah bahawa dia tidak tahu Zara Qairina jatuh dari tingkat berapa dan dia juga tidak pernah melihat tompokan darah di koridor tingkat satu, dua dan tiga bangunan asrama itu.

Terdahulu, saksi juga memberitahu mahkamah bahawa tompokan darah remaja itu masih boleh dilihat di lokasi kejadian kerana telah kering, keras dan bertukar hitam.

Katanya, walaupun hujan berturut-turut selama dua hari bermula subuh pada hari kejadian, tompokan darah yang kering dan keras masih dapat dilihat sehingga hari ini.

“Tempat Zara Qairina yang dikatakan jatuh itu atas simen… tompokan darah itu dah jadi kering, keras dan hitam,” kata Linah.

Mengimbau detik-detik Linah berkenalan dengan Zara Qairina, saksi itu berkata dia nampak si mati pada kali pertama melalui platform TikTok.

“Saya nampak dia melalui TikTok… saya tegur dia, kau punya TikTok kah ini? Ya, dia bilang (kata). Kali kedua, saya nampak dia di tempat jemur pakaian. Saya tanya, kenapa kamu lari-lari, sudah tengah malam… dia senyum sahaja dan bilang dia teman kawannya basuh kain,” kata Linah yang selesai memberi keterangannya hari ini.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung Rabu depan.

Zara Qairina, 13, pelajar Tingkatan Satu SMKA Tun Datu Mustapha meninggal dunia pada 17 Julai di Hospital Queen Elizabeth, di sini.

Dia dimasukkan ke hospital berkenaan sehari sebelum, setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan pihak polis, manakala sebelum itu pada 8 Ogos AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan